Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah selepas menahan tujuh individu termasuk suami isteri menerusi enam serbuan di negeri ini pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Serbuan yang dilakukan di daerah ini, Pasir Mas dan Tumpat itu turut merampas 120.5 kilogram (kg) dadah jenis syabu dan pil yaba yang keseluruhannya bernilai RM4.6 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, serbuan dilakukan oleh Bukit Aman dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan hasil risikan dan maklumat awam.

"Serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah di Pengkalan Chepa yang membawa kepada penahanan suami isteri dan rampasan pil yaba pada 8.15 malam Jumaat lalu.

"Susulan tangkapan berkenaan, pihaknya melancarkan lima lagi serbuan yang membawa kepada penahanan lima suspek berusia antara 25 hingga 46 tahun.

"Hasil operasi berkenaan, kita merampas 101.5 kg dadah jenis syabu, 19 kg pil yaba dan empat liter ubat batuk," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

AYOB Khan (empat kiri) diiringi Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat (tiga kiri) menunjukkan syabu dan pil yaba yang dirampas. FOTO Nik Abdulllah Nik Omar.
AYOB Khan (empat kiri) diiringi Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat (tiga kiri) menunjukkan syabu dan pil yaba yang dirampas. FOTO Nik Abdulllah Nik Omar.

Beliau berkata, siasatan mendapati modus operandi suspek adalah membawa masuk bekalan dadah dari Thailand menggunakan pangkalan haram untuk pasaran tempatan.

"Kumpulan berkenaan dipercayai aktif sejak Disember tahun lalu dan kami sedang mengesan saki baki kumpulan berkenaan.

"Saringan ujian air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah dan seorang daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

"Susulan tangkapan itu, polis turut menyita harta benda suspek termasuk kereta, barang kemas, beg tangan, wang tunai dan jam tangan bernilai RM538,943.50," katanya.

Katanya, kesemua suspek direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

"Suspek yang ditahan bekerja sebagai pemandu bot, juruteknik penghawa dingin, bekerja sendiri, pendandan rambut selain ada yang menganggur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2022 @ 1:17 PM