Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman merampas 745.93 kilogram (kg) dan 283.6 liter pelbagai jenis dadah bernilai RM10.38 juta di penempatan Felda dan kawasan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dalam operasi selama tiga hari berakhir Jumaat lalu.

Menerusi Op Tapis Khas Siri 2 itu seramai 3,668 individu ditahan termasuk 116 warga asing berusia antara 14 hingga 60 tahun di 125 penempatan rancangan Felda dan 222 kawasan PPRT.

Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, antara dadah yang dirampas termasuk heroin seberat 5.74 kg, syabu (279.16 kg), ketamin (29.8 kg), daun ketum (455.5 kg), air ketum (269.05 liter) dan 12 pokok ganja.

Beliau berkata, selain rampasan dadah, polis turut menyita sepucuk pistol tiruan di Jerantut, Pahang, selaras senapang patah dan 17 peluru di Selama, Perak dan selaras senapang patah, selaras senapang angin serta 18 peluru di Lawas, Sabah selain wang tunai RM159,786, barang kemas (RM18,846), 22 kereta (RM553,200), 52 motosikal (RM276,600) dan satu topi keledar (RM700).

"Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM11.4 juta. Bagi pecahan tahanan, ia membabitkan 3,512 lelaki dan 157 perempuan. Siasatan mendapati terdapat 572 tokan, 1,850 penagih dan 185 orang dikehendaki atas kesalahan dadah.

"Polis juga menahan penuntut institut pengajian tinggi (IPT) dan enam pelajar sekolah menengah berusia antara 16 hingga 19 tahun," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

AYOB Khan (tengah) menunjukkan antara dadah yang telah dirampas pada sidang media mengenai Op Tapis Siri 2, Sasaran felda dan PPRT serta kes jayaaan rampasan dadah syabu di IPK Kuala Lumpur. FOTO Rohanis Shukri
AYOB Khan (tengah) menunjukkan antara dadah yang telah dirampas pada sidang media mengenai Op Tapis Siri 2, Sasaran felda dan PPRT serta kes jayaaan rampasan dadah syabu di IPK Kuala Lumpur. FOTO Rohanis Shukri

Mengulas operasi di kawasan penempatan Felda, beliau berkata, sebanyak 192 lokasi lagi akan digempur bagi menangani penagihan dadah.

Bagaimanapun, katanya, usaha untuk membanteras isu itu secara menyeluruh memerlukan pendekatan holistik dan bersepadu membabitkan semua pihak berkaitan termasuk badan bukan kerajaan (NGO) serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

"Isu penagihan dadah di Felda bukan sesuatu perkara baharu. Ia mungkin tidak membabitkan semua kawasan, namun isu berbangkit memang wujud," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Februari 2022 @ 2:42 PM