PENERIMA bantuan banjir, Khaimunisah Kasdan. FOTO Ruwaida Md Zain
PENERIMA bantuan banjir, Khaimunisah Kasdan. FOTO Ruwaida Md Zain
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Seorang mangsa banjir menggunakan wang i-Sinar yang diterima sebelum ini untuk menggantikan peralatan rumah yang rosak sementara menerima bantuan banjir dari kerajaan.

Suri rumah, Khaimunisah Kasdan, 46, dari Kampung Sungai Kandis, Seksyen 36, di sini, melahirkan kesyukuran kerana bantuan yang diterima hari ini dapat menggantikan semula simpanan i-Sinar yang digunakan itu.

"Saya dapat keseluruhan RM4,500 hari ini. Saya terima RM2,000 (Bantuan Selangor Bangkit & Bantuan Wang Ihsan) secara tunai dan baki RM2,500 (Bantuan Barang Keperluan Asas) akan dimasukkan ke akaun saya kemudian.

"Walaupun lambat berbanding pemohon lain, tetapi saya sangat bersyukur dan lega sebab dapat juga akhirnya.

"Sementara dapat duit ini, selepas banjir tempoh hari saya menggunakan duit i-Sinar, beli almari, bekas untuk simpan barang, ganti serba sedikit barang rosak," katanya.

Khaimunisah antara lebih 3,000 penerima bantuan banjir daerah Klang yang menerima bantuan hari ini di Dewan Kemuning Utama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Seksyen 32, di sini.

Bagi M Gobi, 65, dari Taman Sentosa, Klang pula amat gembira dan menghargai wang bantuan yang diperolehi kerana bukan mudah mendapatkannya.

"Sekarang saya dapat secara tunai RM2,000, RM1,000 daripada kerajaan Pusat dan RM1,000 kerajaan negeri dan dalam sebulan dua ini akan masuk dalam akaun saya RM2,500.

"Dengan duit ini saya rancang beli barang perlu saja seperti katil sebab saya tidur di lantai sekarang.

"Ada barang terpaksa dibuang tetapi ada juga barang rumah masih boleh baiki, saya cuba baiki dan selamatkan... saya sayang duit yang saya terima ini sebab macam-macam boleh buat untuk baikpulih rumah," katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Klang, Mohd Faizal Abdul Raji berkata, pihaknya menyasarkan pengagihan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) dan Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa terjejas banjir di daerah itu selesai Jumaat ini.

Katanya, sebanyak 70,983 permohonan bantuan banjir diterima setakat 31 Januari lalu dan sejumlah RM69.63 juta diagihkan kepada 32,557 penerima mewakili 46.8 peratus daripada jumlah pemohon.

"PDT Klang berjaya menagihkan BSB dan BWI sebanyak 32 sesi membabitkan peruntukan RM32,617,000 kepada mangsa banjir di daerah Klang.

"Sebelum 28 Februari ini, kita akan selesaikan mengikut jadual, kemungkinan kita boleh selesaikan lebih awal iaitu pada Jumaat ini.

"Jadi ada yang tidak dapat hadir, kita sampaikan (bantuan banjir) pada Sabtu, yang mana kita akan aturkan satu pemberian dan kita akan hubungi penerima untuk hadir ke Dewan PDT Klang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Februari 2022 @ 8:40 PM