Norzamira Che Noh

Shah Alam: Lebih RM39 juta peruntukan sudah disalurkan kepada mangsa banjir di seluruh negara menerusi Bantuan Wang Ihsan (BWI) setakat ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Mastura Mohd Yazid berkata, jumlah itu membabitkan mangsa banjir gelombang pertama.

Katanya, ia diberikan kepada ketua isi rumah (KIR) sama ada yang berpindah di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau tidak berpindah.

"Penyaluran BWI ini kita laksanakan setiap hari dan sehingga kini sudah lebih RM39 juta diperuntukkan," katanya selepas tinjauan pemberian BWI di Balai raya Kampung Lombong, Seksyen 29 dekat sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang Mohd Faizal Abd Raji memaklumkan penduduk di Taman Sri Muda, Seksyen 25 akan menerima bantuan kewangan daripada kerajaan negeri serta Persekutuan dalam masa terdekat.

Justeru katanya, penduduk di kawasan itu diminta bersabar sementara pihaknya menguruskan pemberian bantuan berkenaan.

"Sebelum ini kita mengagihkan bantuan itu kepada lebih 90 keluarga dan fasa pemberian seterusnya akan dibuat di Dewan Azalea pada Isnin depan dan 17 Januari ini.

"Selain Taman Sri Muda, pemberian bantuan itu juga akan dibuat secara berfasa di semua kawasan atau daerah yang terlibat banjir," katanya.

MOHD Shahril  menerima BWI dan Bantuan Selangor Bangkit (BSB). FOTO Faiz Anuar
MOHD Shahril menerima BWI dan Bantuan Selangor Bangkit (BSB). FOTO Faiz Anuar

Mengulas lanjut, Mohd Faizal berkata, sehingga semalam, 2,304 ketua keluarga isi rumah menerima bantuan tunai berjumlah RM2,000 (kerajaan negeri dan persekutuan) dan menjangkakan sejumlah 4,500 mangsa di daerah Klang akan menerima bantuan yang sama hujung minggu ini.

Dalam pada itu, seorang penerima bantuan, Mohd Shahril Tumian, 39 memaklumkan wang RM2,000 yang diterima akan digunakan untuk membeli barangan persekolahan tiga anaknya.

Katanya, rumahnya di Taman Tulip 2, Kampung Lombong dinaiki air dan hampir semua kelengkapan rumah rosak akibat banjir yang melanda.

"Alhamdulillah, dengan bantuan ini, saya akan utamakan kelengkapan persekolahan tiga anak yang berusia 8, 9 dan 11 tahun.

"Selepas itu, baru saya akan belikan kelengkapan rumah dan lain-lain termasuk membaiki kenderaan yang rosak akibat banjir baru-baru ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 January 2022 @ 5:50 PM