Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Mangsa banjir di daerah Klang dan Petaling yang tidak hadir mengambil bantuan kewangan semalam akan dihubungi semula.

Pegawai Daerah Klang Mohd Faizal Abdul Raji berkata, mangsa banjir yang hadir Program pemberian Bantuan Wang Ihsan Unit ICU Selangor di Taman Sri Muda semalam merekodkan kehadiran 91 peratus.

"Kita jemput seramai 1,500 penerima ke Dewan Azalea, Seksyen 25, Shah Alam, sebab ia paling hampir dengan lokasi kejadian iaitu Taman Sri Muda.

"Pemberian ini serentak membabitkan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) RM1,000 dan Bantuan Wang Ihsan (BWI) RM1,000, jumlahnya RM2,000.

"Jumlah kehadiran penerima (semalam) di Dewan Azalea adalah 1,359 penerima atau 91 peratus kehadiran," katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun katanya, penerima yang tidak dapat hadir semalam akan dihubungi semula oleh pihaknya.

MANGSA banjir yang hadir menerima BWI dan BSB di Dewan Azalea, semalam. FOTO Faiz Anuar
MANGSA banjir yang hadir menerima BWI dan BSB di Dewan Azalea, semalam. FOTO Faiz Anuar

"Penerima yang tidak hadir akan dihubungi semula melalui panggilan telefon untuk ambil bantuan di Pejabat Daerah dan Tanah Klang pada Sabtu atau Ahad," katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Petaling Datuk Johary Anuar juga memaklumkan kakitangannya akan menghubungi penerima yang tidak hadir semalam untuk mendapatkan bantuan banjir mereka.

"Jumlah keseluruhan ketua keluarga mangsa banjir sekitar Bukit Lanchong yang dijemput hadir mendapatkan bantuan di Dewan Kenanga semalam adalah 1,365 penerima.

"Bagaimanapun jumlah kehadiran semalam adalah 94.7 peratus atau 1,293 penerima.

"Jadi yang tidak hadir semalam akan dihubungi semula untuk ambil di sesi akan datang atau di PDT Petaling," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 January 2022 @ 11:07 AM