Mohd Shah sedang memberi makan ikan talapia diternaknya di Sungai Nerus, Kuala Nerus hari ini. Foto Ahmad Rabiul Zulkifli
Mohd Shah sedang memberi makan ikan talapia diternaknya di Sungai Nerus, Kuala Nerus hari ini. Foto Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Nerus: Kegiatan menuba ikan didapati kian menjadi-jadi di Sungai Nerus di sini, sekali gus menyebabkan aktiviti menternak ikan air tawar di sepanjang sungai itu terjejas.

Gara-gara aktiviti haram yang tidak terkawal itu, ramai penternak ikan air tawar terpaksa gulung tikar kerana mengalami kerugian setiap kali kegiatan itu dilakukan.

Penternak, Mohd Shah Abd Ghani, 40, dari Kampung Jeram Hilir, Tepoh berkata, terdapat lima penternak ikan air tawar di sepanjang sungai berkenaan.

"Bagaimanapun, empat daripadanya terpaksa menghentikan penternakan mereka kerana sering mengalami kerugian.

"Setiap kali aktiviti menuba ikan dijalankan di sungai itu, penternak akan mengalami kerugian kerana ikan-ikan yang diternak termasuk patin, talapia, keli dan baung mati.

"Pihak tidak bertanggungjawab itu dipercayai menggunakan cecair klorin ketika menjalankan aktiviti menuba ikan yang akhirnya menyebabkan air tercemar seterusnya menyebabkan kematian ikan dalam skala yang besar," katanya ketika ditemui di sangkar ikan miliknya, hari ini.

Menurutnya, sebelum ini dia mempunyai 16 sangkar ikan di sungai itu tetapi kini tinggal hanya empat sangkar.

"Saya pernah mengalami kerugian hingga RM50,000 apabila lebih 30,000 ikan yang diternak mati keracunan.

"Sebagai penternak, saya sentiasa berasa bimbang mengalami kerugian sama maklumlah aktiviti menuba ikan itu pada bila-bila masa boleh berlaku.

"Difahamkan aktiviti itu didalangi penduduk dari daerah lain tetapi mendapat kerjasama penduduk setempat seterusnya ia sukar dibanteras," katanya.

Menurutnya, dia berharap pihak yang bertanggungjawab memantau dan menjalankan penguatkuasaan bagi menangani kegiatan itu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu Ruzaidi Mamat berkata, pihaknya ada menerima laporan mengenai aktiviti menuba ikan di Sungai Nerus dan dalam pemerhatian pihaknya.

"Sebenarnya, bukan sahaja masalah menuba ikan yang menyebabkan penternakan ikan air tawar dalam sangkar yang dijalankan terjejas tetapi kerana pencemaran sungai yang berpunca daripada aktiviti di daratan.

"Kami harap orang awam atau penternak ikan yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan menuba ikan di sungai itu boleh salurkan kepada kami untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Februari 2022 @ 12:12 PM