Pegawai Unit Penguatkuasaan Sains dan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan SPAN melakukan pemeriksaan di sebuah premis yang disyaki melakukan kegiatan curi air di Seremban 2 kelmarin. Foto Ihsan Sains
Pegawai Unit Penguatkuasaan Sains dan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan SPAN melakukan pemeriksaan di sebuah premis yang disyaki melakukan kegiatan curi air di Seremban 2 kelmarin. Foto Ihsan Sains
Mohd Khidir Zakaria

Seremban: Sebuah premis yang disyaki melakukan penyambungan air secara haram untuk kegunaan pembinaan diserbu Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (Sains) dalam satu operasi di Seremban 2 di sini, kelmarin.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Sains Norzita Ismail berkata, serbuan itu dilakukan sepasukan pegawai dari Unit Penguatkuasaan Sains serta Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pada 7 malam.

"Siasatan tapak mendapati penghuni premis berkenaan melakukan penyambungan tidak sah menggunakan paip jenis Unplasticized Polyvinyl Chloride (UPVC) bersaiz 20 milimeter (mm) tanpa melalui sebarang meter untuk kegiatan pembinaan tersebut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 89(9) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan boleh dikenakan hukuman denda sebanyak RM50,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pegawai penguat kuasa Sains turut menjalankan ujian klorin di lokasi terbabit dan terbukti bekalan air yang digunakan adalah air terawat milik Sains.

"Pihak SPAN mengambil tindakan dengan menyita sambungan dan punca sambungan yang dibuat sebagai bahan bukti," katanya.

Menurutnya, Sains akan terus mempertingkatkan pemantauan serta penguatkuasaan terhadap kegiatan curi air di seluruh negeri itu.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin melaporkan sebarang kes curi air boleh menghubungi talian bebas tol Sains di talian, 1-800-88-6982 dan setiap maklumat peribadi pemberi maklumat akan dirahsiakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Februari 2022 @ 11:42 AM