GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Seremban: Dua premis di sini yang disyaki melakukan penyambungan air secara haram untuk kegunaan harian sejak dua minggu lepas diserbu Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (Sains) dalam operasi pada 27 April lalu.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Sains Norzita Ismail berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dari Unit Penguatkuasaan Sains serta Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pada 11 pagi.

Menurutnya, serbuan pertama membabitkan sebuah hotel serta bengkel kereta bagi bangunan sama di Senawang yang disyaki membuat penyambungan tidak sah menggunakan paip mudah lentur bersaiz 14 milimeter (mm) tanpa melalui sebarang meter Sains.

"Serbuan kedua membabitkan sebuah bengkel motosikal di Seremban yang membuat penyambungan menggunakan Tee Off GI bersaiz 25mm selepas tindakan pemotongan bekalan akibat tunggakan bayaran," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini

Beliau berkata, bekalan air yang diperoleh itu dipercayai digunakan dalam pelbagai aktiviti harian penghuni premis yang tinggal di tingkat satu dan dua premis itu yang ia terbukti air terawat milik Sains selepas ujian klorin di lokasi berkenaan dijalankan.

Susulan itu, pihaknya menyita semua pemasangan dan punca sambungan yang dibuat sebagai bahan bukti dan mengeluarkan notis makluman kesalahan kepada para penghuni premis berkenaan.

Norzita berkata, akibat kegiatan haram berkenaan menyebabkan Sains mengalami kerugian dianggarkan berjumlah RM2,000.

"Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 89(9) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM50,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali," katanya.

Beliau berkata, Sains akan terus mempertingkatkan pemantauan serta penguatkuasaan terhadap kegiatan curi air di seluruh negeri ini tanpa mengira kes sama ada membabitkan pengguna komersial mahupun domestik bagi mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil (NRW).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 April 2021 @ 4:09 PM