penyambungan paip   melalui tangki sedutan  untuk  aktiviti curi air di sebuah tapak pembinaan di Temiang.
penyambungan paip melalui tangki sedutan untuk aktiviti curi air di sebuah tapak pembinaan di Temiang.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

Seremban: Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) membongkar perbuatan kontraktor sebuah tapak pembinaan di Temiang di sini, yang mencuri air dan mengakibatkan kerugian RM6,000, Selasa lalu.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam SAINS Norzita Ismail berkata, pihaknya yang menerima aduan melakukan serbuan ke tapak pembinaan itu jam 10 pagi bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Katanya, pemeriksaan mendapati pihak kontraktor membuat penyambungan secara tidak sah menggunakan paip jenis Mild Steel (MS) melalui tangki sedutan di lokasi.

“Pemaju sepatutnya mendapatkan bekalan air menggunakan meter, namun disyaki mencuri.

“Ujian klorin dilakukan mendapati air digunakan adalah air terawat milik syarikat (SAINS),” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Norzita berkata, operasi diketuai pegawai Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan SPAN Mohd Shariff Abd Rahman mengeluarkan notis kesalahan kepada kontraktor terbabit.

“Malah, kami turut menyita paip MS itu sebagai bahan bukti.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 123 Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006 yang memperuntukkan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap kes curi air di negeri ini membabitkan pengguna komersial dan domestik.

“Ini langkah berterusan bagi mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil (NRW).

“Orang ramai memiliki maklumat berkaitan kecurian air boleh melaporkan di talian bebas tol SAINS 1-800-88-6982,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Julai 2018 @ 10:54 AM