Sultan Ibrahim menerusi YSIJ menyumbangkan 3.4 juta pelitup muka sempena PRN Johor.  FOTO Facebook Sultan Ibrahim
Sultan Ibrahim menerusi YSIJ menyumbangkan 3.4 juta pelitup muka sempena PRN Johor. FOTO Facebook Sultan Ibrahim
Oleh Omar Ahmad.


Johor Bahru: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) menyumbangkan 3.4 juta pelitup muka berkualiti tinggi kepada kerajaan negeri bersempena Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung pada 12 Mac ini.

Pemegang Amanah Urusan YSIJ, Datuk Avinderjit Singh berkata pelitup muka dan 150,000 pelindung muka bernilai lebih RM23.2 juta itu akan diedarkan kepada setiap daerah di dalam negeri Johor untuk petugas PRN dan juga rakyat.

"Sultan Ibrahim amat menitikberatkan kesejahteraan serta kesihatan petugas dan juga rakyat Johor yang akan keluar mengundi.

"Ini bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19 selain sebagai langkah pencegahan demi memastikan kesejahteraan serta kesihatan petugas dan rakyat Johor sebagaimana yang sentiasa dititikberatkan Baginda Tuanku Sultan," katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial Sultan Ibrahim, hari ini.

Sumbangan disampaikan Avinderjit Singh kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan) Datuk Mohd Noh Ibrahim dengan diiringi Ketua Pegawai Eksekutif YSIJ, Fadhly Suffian Laili di Dewanraya Taman Desa Skudai, di sini.

Sementara itu, Mohd Noh berkata sumbangan berkenaan daripada YSIJ amat dihargai dan memberi keutamaan kepada kesihatan rakyat Johor.

"Bantuan ini akan kita serahkan kepada semua Pejabat Daerah sebelum disampaikan kepada setiap petugas PRN dan pelitup muka akan ditempatkan di setiap dewan mengundi untuk diagihkan kepada rakyat" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Februari 2022 @ 3:27 PM