Yayasan Sultan Ibrahim Johor dengan kerjasama Yayasan Temasek dari Singapura menyumbangkan 7.5 juta pelitup muka dan 260 mesin pelitup muka layan diri. FOTO Royal Press Office (RPO)
Yayasan Sultan Ibrahim Johor dengan kerjasama Yayasan Temasek dari Singapura menyumbangkan 7.5 juta pelitup muka dan 260 mesin pelitup muka layan diri. FOTO Royal Press Office (RPO)
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) dengan kerjasama Yayasan Temasek dari Singapura menyumbangkan 7.5 juta pelitup muka dan 260 mesin pelitup muka layan diri (vending machine) yang kesemuanya bernilai RM25 juta.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar, bertitah pelitup muka yang boleh dibasuh dan anti bakteria itu akan disampaikan kepada masyarakat di semua daerah termasuk murid dan pelajar sekolah negeri ini secara percuma.

Titah baginda, mesin pelitup muka layan diri pula akan ditempatkan di lokasi strategik diseluruh daerah negeri ini secara berperingkat.

"Penempatan lokasi mesin pelitup muka layan diri di semua daerah akan ditentukan oleh kerajaan negeri bersama YSIJ bagi memastikan edaran pelitup muka dapat disampaikan kepada rakyat di seluruh Johor.

"Hasrat saya adalah untuk memastikan pelitup muka ini mudah diperoleh oleh semua rakyat, dalam menjaga kesihatan masing-masing," titah baginda hari ini.

Kenyataan Sultan Johor itu dimuat naik ke akaun Facebook rasmi baginda.

Sultan Ibrahim bertitah, rakyat Johor bakal menerima satu pek setiap seorang yang mengandungi dua keping pelitup muka bercirikan anti bakteria dan ia boleh dibasuh seterusnya diguna semula sehingga 30 kali bagi setiap keping.

Terdahulu, baginda berkenan meluangkan masa melihat mesin pelitup muka layan diri di Istana Pasir Pelangi, dan menyerahkan lebih 620,000 pelitup muka untuk kegunaan murid dan pelajar sekolah kepada Pengarah Pendidikan Johor, Shaharuddin Saari.

Di Johor, terdapat 1,189 sekolah seluruh negeri dengan bilangan murid dan pelajar seramai 628,702.

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad, Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YSIJ, Datuk Avinderjit Singh; Ketua Pegawai Eksekutif YSIJ, Fadhly Suffian Laili serta Mejar Cina, Datuk David Wong.

Sementara itu, Shaharuddin berkata, beliau mewakili warga pendidik menjunjung kasih kepada Sultan Johor di atas sumbangan pelitup muka kepada murid dan pelajar sekolah di Johor.

"Baginda sememangnya amat menitikberatkan kesejahteraan dan keselamatan murid di Johor. Pelitup muka ini akan disampaikan kepada semua sekolah di Johor secara berperingkat," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mac 2021 @ 10:53 AM