SULTAN Ibrahim  (dua kiri) berkenan mengurniakan 42 ventilator bagi kegunaan hospital di Johor. FOTO Facebook The Royal Johor
SULTAN Ibrahim (dua kiri) berkenan mengurniakan 42 ventilator bagi kegunaan hospital di Johor. FOTO Facebook The Royal Johor
Mohamed Farid Noh


SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan mengurniakan 42 ventilator bagi kegunaan hospital di negeri ini.

Dalam paparan terbaru di Facebook rasmi baginda, Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan sumbangan berkenaan kepada Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Aman Rabu yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani.

Sultan Johor bertitah, sumbangan berkenaan disampaikan baginda menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).

“Bantuan ventilator yang kita sampaikan ini juga adalah sumbangan daripada dermawan dan juga rakan saya lain.

“Saya amat memahami pada situasi masa kini, hospital amat memerlukan peralatan ini khususnya bagi kegunaan pesakit.

“Ini adalah kerjasama di antara saya, rakan, dermawan dan juga kerajaan negeri bagi bersama-sama mengurangkan beban kerajaan dalam merawat pesakit Covid-19,” titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah, ventilator berkenan akan diagihkan kepada hospital kerajaan di seluruh Johor mengikut keperluan oleh Pengarah Kesihatan Johor.

“Bukan mudah untuk mendapatkan peralatan ini lebih lagi ketika musim penularan wabak Covid-19. Kita berusaha keras untuk mendapatkannya.

“Jika ada lagi pihak yang sudi untuk memberi sumbangan kepada YSIJ, kita mungkin dapat mengusahakan lebih banyak untuk kegunaan hospital,” titah baginda.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2020 @ 4:20 PM