Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) dengan kerjasama berterusan bersama Yayasan Temasek dari Singapura, berkenaan menyampaikan sumbangan 300,000 pelitup muka, bekalan perubatan serta 16,000 khemah kubik kepada kerajaan  Johor. FOTO IHSAN RPO
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) dengan kerjasama berterusan bersama Yayasan Temasek dari Singapura, berkenaan menyampaikan sumbangan 300,000 pelitup muka, bekalan perubatan serta 16,000 khemah kubik kepada kerajaan Johor. FOTO IHSAN RPO
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) dengan kerjasama bersama Yayasan Temasek dari Singapura menyampaikan sumbangan 300,000 pelitup muka, bekalan perubatan serta 16,000 khemah kubik kepada kerajaan Johor.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menyampaikan kesemua sumbangan itu kepada Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad dan wakil agensi kerajaan di Istana Polo di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Azmi Rohani dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YSIJ Datuk Avinderjit Singh.

Sebanyak 300,000 unit pelitup muka berkualiti tinggi serta cecair anti bakteria disampaikan untuk kegunaan pelbagai pasukan barisan hadapan termasuk Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF).

Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) pula menerima sumbangan bekalan peralatan serta perkakas dialisis bagi pesakit yang menjalani rawatan Terapi Penggantian Renal Berterusan (CRRT) dan hemodialisis.

Sebanyak 16,000 unit khemah kubik pula disampaikan kepada Jawatankuasa Bencana Negeri Johor bagi kegunaan penduduk yang terjejas akibat bencana alam serta di pusat pemindahan sementara (PPS).

Sementara itu, Hasni berkata, kerajaan negeri menjunjung setinggi-tinggi kasih dan penghargaan kepada baginda Sultan Johor dan Yayasan Temasek di atas sumbangan berkenaan.

"Sumbangan yang diterima ini khususnya bekalan dan peralatan perubatan penting untuk mempertingkatkan keupayaan rawatan di hospital di negeri ini," katanya dalam kenyataan Royal Press Office (RPO) hari ini.

Dalam pada itu, Avinderjit berkata, sumbangan secara berterusan yang diterima ini melambangkan kerjasama Sultan Johor bersama kerajaan Singapura dan Yayasan Temasek.

"Hubungan Johor dan Singapura serta Yayasan Temasek terus terjalin kukuh hasil kerjasama erat Sultan Johor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 4:56 PM