Stephen Rundi Utom
Stephen Rundi Utom
Melvin Joni


Kuching: Durin di Sibu, Meradong dan Jalan Repok di Sarikei dikesan sebagai kawasan dijangkiti Penyakit Demam Babi Afrika (ASF).

Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, ia dikesan apabila ujian makmal ke atas sampel dari beberapa ladang babi di kawasan terbabit disahkan positif ASF, semalam.

"Untuk mengawal penyakit ini dengan lebih berkesan, adalah perlu untuk mengisytiharkan kawasan yang lebih besar dan oleh itu kedua-dua bahagian Sibu dan Sarikei serentak sebagai Kawasan Kawalan Penyakit ASF.

"Sehingga hari ini, pengisytiharan ini masih berkuat kuasa dan belum ditarik balik," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar terus memantau semua ladang babi sama ada ladang komersial, ladang pekebun kecil dan juga babi yang dipelihara di kampung dan rumah panjang.

Katanya, program pemantauan termasuk pengawasan klinikal dan serologi untuk menentukan penyebaran ASF dalam kedua-dua bahagian berkenaan.

Pada masa sama, Rundi mengingatkan semua penternak babi untuk meningkatkan biosekuriti ladang mereka termasuk tidak menggalakkan lawatan ladang dan tidak dibenarkan masuk untuk kenderaan yang tidak dibersihkan dan dinyahjangkit dengan betul.

Katanya, pemberian makanan menggunakan sisa dapur harus dihentikan kerana produk makanan yang tercemar (termasuk daging babi) sering menjadi punca penyebaran ASF.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Februari 2022 @ 2:22 PM