GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Melvin Joni


Kuching: Bahagian Limbang, Kapit dan Miri diisytiharkan sebagai Kawasan Kawalan Demam Babi Afrika (ASF) berikutan penemuan penyakit itu di Sabah dan Kalimantan Utara.

Pengarah Veterinar Sarawak Dr Adrian Susin Ambud berkata, pengisytiharan dibuat Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

"Perintah ini dilaksanakan mengikut Seksyen 35 (1) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999.

"Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Limbang yang dipengerusikan oleh Residen Bahagian Limbang bermesyuarat hari ini dan tindakan bersepadu membabitkan pelbagai agensi akan dilaksanakan untuk mengekang penyakit ASF daripada merebak," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan itu, Dr Adrian berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) melaksanakan langkah-langkah kawalan seperti pengharaman pengimportan babi dan produk babi ke Sarawak dari negara atau negeri yang terjangkit dan memantapkan pemantauan dan survelan ke atas semua ladang babi komersial dan babi kampung di seluruh Sarawak.

Pada masa sama, beliau berkata JPVS turut melaksanakan penakaian babi di kawasan yang dijangkiti di Kampung Buduk Bui di Lawas, Limbang serta pengharaman pergerakan babi dan produk haiwan itu dari kawasan yang diisytiharkan sebagai Kawasan Kawalan ASF ke kawasan lain.

"Pengawalan kemasukan babi dan produk babi dari kawasan lain ke kawasan yang diisytiharkan sebagai Kawasan Kawalan ASF memerlukan Permit Pergerakan dari Pejabat Perkhidmatan Veterinar Bahagian," katanya.

Manakala dalam Kawasan Kawalan ASF, Dr Adrian berkata orang awam tidak dibenarkan memindah atau membawa babi hidup, daging babi atau hasil produk babi keluar dari kawasan kawalan.

Selain itu, katanya orang ramai juga tidak dibenarkan membawa masuk, berjual beli secara dalam talian atau aktiviti kiriman pos sebarang daging babi atau hasil produk babi tanpa permit.

Sementara, beliau berkata penternak diarahkan untuk tidak memberi sisa makanan dapur dan sekiranya ternakan babi diberi makanan lebihan dapur, ia perlu dimasak sekurang-kurangnya 30 minit untuk membunuh virus ASF.

Katanya, penternak juga perlu melaporkan kepada Pejabat Veterinar terdekat sekiranya terdapat sebarang kematian babi ternakan.

Dr Adrian menegaskan sebarang babi atau hasil produk babi yang dipindahkan atau ditawarkan untuk dijual atau dijual dalam pelanggaran perintah boleh disita atau dimusnahkan oleh Pihak Berkuasa Veterinar Negeri.

Katanya, tiada pampasan akan dibayar untuk sebarang babi atau hasil produk babi yang dirampas atau dimusnahkan di bawah seksyen berkenaan.

"Kegagalan untuk mematuhi arahan berkenaan akan dikenakan denda tidak melebihi RM1,000.

"Sesiapa yang didapati membawa masuk ternakan dan hasil ternakan dari negara luar tanpa import permit boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 dan/atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa daging babi yang terdapat di pasaran adalah selamat kerana sumber diperolehi dari ladang yang bebas virus ASF.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Ogos 2021 @ 7:52 PM