LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pulau Pinang (JPVPP) mengesahkan penyakit African Swine Fever (ASF) menjangkiti 30 ladang babi komersial seluruh negeri setakat ini.

Ia membabitkan 19 ladang di daerah Seberang Perai Selatan, dua di Seberang Perai Tengah, enam di Seberang Perai Utara dan tiga daerah Barat Daya (DBD) menjadikan jumlah keseluruhan populasi babi yang dijangkiti adalah 68,659 ekor.

Pengarah JPV negeri, Dr Saira Banu Mohamed Rejab, berkata bagi mengawal dan mencegah perebakan penyakit ASF pihaknya menjalankan 'stamping out policy' iaitu pemusnahan babi di ladang positif atau dipercayai dijangkiti dalam zon jangkitan dengan berpandukan Protokol Veterinar Malaysia (PVM) bagi penyakit ASF.

"Polisi ini diamalkan dengan tujuan menghapuskan virus supaya penternak dapat menternak semula dengan selamat serta bebas dari penyakit ASF, seterusnya menjamin bekalan daging babi dalam negara mencukupi.

"Pemusnahan babi ini telah dijalankan bermula 5 Januari lalu selepas kes pertama ASF dikesan dengan kadar kematian yang tinggi iaitu mencecah 37 peratus atau lebih kurang 60 ekor sehari dari populasi 1200 ekor babi di ladang.

"Di Pulau Pinang, pemusnahan babi dari ladang-ladang dengan kematian yang tinggi sehingga melebihi 30 peratus ini selesai dijalankan dan kadar perebakan penyakit dilihat semakin perlahan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penemuan karkas babi dengan tanda-tanda klinikal seperti penyakit ASF di rumah sembelih juga berkurangan termasuk pihaknya tidak lagi menerima aduan berhubung kematian babi yang tinggi di ladang babi.

"Ini menunjukkan kaedah stamping out yang dijalankan JPVPP memberi kesan yang amat baik.

"Sehingga hari ini, sebanyak 14,385 ekor babi dilupuskan dari 16 buah ladang positif dan bakinya sedang dalam proses pelupusan.

"JPVPP amat bersimpati ke atas nasib para penternak yang terkesan dengan penyakit ASF ini memandangkan perkara ini membabitkan kerugian yang amat besar.

"Bagi meringankan beban penternak, JPVPP juga menghantar permohonan wang ehsan bagi 10 ladang babi yang selesai proses pelupusan sepanjang bulan Januari lalu kepada pihak Ibu Pejabat Perkhidmatan Veterinar (IPPV) di Putrajaya untuk di angkat ke peringkat seterusnya iaitu di peringkat kerajaan persekutuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2023 @ 4:03 PM