Anwar (kiri) ketika mengumumkan Maszlee (dua dari kanan) sebagai calon DUN Layang-Layang di majlis pengumuman Calon PKR PRN Johor Zon Tengah di Rengit dekat Batu Pahat, hari ini. Foto Essa Abu Yamin
Anwar (kiri) ketika mengumumkan Maszlee (dua dari kanan) sebagai calon DUN Layang-Layang di majlis pengumuman Calon PKR PRN Johor Zon Tengah di Rengit dekat Batu Pahat, hari ini. Foto Essa Abu Yamin
Essa Abu Yamin

Batu Pahat: Bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik diumumkan sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-layang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, dia terharu dengan kepercayaan yang diberikan oleh parti kerana mengikut peraturan tidak bertulis parti ialah Ahli Parlimen tidak akan bertanding di peringkat DUN.

"Namun saya dapati pihak parti memutuskan untuk saya turun bertanding untuk menawan DUN Layang-Layang yang kita kalah dan juga untuk memastikan DUN lain juga kita dapat bantu.

"Apa sahaja tanggungjawab atau kepercayaan diberikan itu, saya akan cuba laksanakan sebaik mungkin dengan jentera dan penyokong yang kita ada di Parlimen Simpang Renggam.

"Lagi pula, DUN Layang-Layang di dalam parlimen Simpang Renggam," katanya ketika sidang media selepas majlis pengumuman Calon PKR PRN Johor Zon Tengah di Rengit dekat sini, hari ini.

Pengumuman berkenaan dibuat oleh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk Zon Tengah, bagaimanapun pengumuman calon lain bagi zon berkenaan akan diumum dalam masa terdekat.

Terdahulu, Maszlee yang baharu menyertai parti itu pada 27 November tahun lalu menjadi calon keenam diumumkan Anwar bakal bertanding mewakili PKR pada PRN Johor bulan depan.

Sementara itu, Ketua Wanita PKR Johor Napsiah Khamis Maharan adalah antara lima calon Pakatan Harapan (PH) yang diumumkan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi kawasan Johor Selatan.

Napsiah akan bertanding di DUN Kempas, manakala Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor Fakhruddin Moslim selaku muka baharu diletakkan sebagai calon DUN Pasir Raja.

Arthur Chiong Sen Sern pulan dinamakan sebagai calon di DUN Bukit Batu dan Dr Zamil Najwah Arbain yang pernah bertanding di DUN Tanjung Surat pada Pilihan Raya Umum-14 (PRU-14) tampil semula sebagai calon DUN Larkin.

Penyandang kerusi DUN Tiram, S Gopalakrishnan juga akan akan mempertahankan semula kerusinya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Februari 2022 @ 7:59 PM