WARGA emas antara yang terawal menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada PRN Johor. FOTO Bernama
WARGA emas antara yang terawal menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada PRN Johor. FOTO Bernama
BERNAMA

Johor Bahru: Pengundi di negeri ini mengambil kesempatan keadaan cuaca cerah dan baik di seluruh negeri untuk hadir ke pusat-pusat pengundian lebih awal bagi menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, hari ini.

Pengundi kelihatan bersemangat dan tiba seawal 7 pagi dan sudah pun beratur sebelum pusat pengundian dibuka tepat, 8 pagi.

Dua bekas menteri besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Dr Sahruddin Jamal adalah antara yang terawal keluar mengundi hari ini.

Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden Umno mengundi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Permas di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Rinting 1, Pasir Gudang di sini, manakala Dr Sahruddin yang juga calon Perikatan Nasional (PN) Dun Bukit Kepong mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Lenga, Pagoh di Muar.

Mohamed Khaled sebelum ini pernah bertanding di kerusi Dun Permas dan memenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) tetapi tewas pada PRU-14.

Turut selesai menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi ialah calon paling tua pada PRN Johor kali ini iaitu Tosrin Jarvanthi, 71, dari PN yang bertanding di Dun Bukit Permai yang mengundi di pusat mengundi SK Sinar Bahagia, Felda Taib Andak di Kulai.

Calon Barisan Nasional (BN) Dun Layang-Layang Datuk Ab Mutalip Abd Rahim pula mengundi di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) LKTP Layang-Layang di Simpang Renggam.

Sebanyak 1,021 pusat mengundi dibuka untuk proses pengundian hari ini.

Sebanyak 2,539,606 pengundi biasa daripada 2,597,742 pengundi berdaftar layak untuk menunaikan tanggungjawab mereka hari ini.

Pada PRN Johor kali ini, seramai 239 calon daripada 15 parti politik akan bertanding merebut 56 kerusi Dun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2022 @ 9:44 AM