Anwar Ibrahim berucap pada Pengumuman Calon PKR Zon Timur di Dewan Terbuka Persatuan ATM Cawangan Pasir Gudang hari ini. FOTO BERNAMA
Anwar Ibrahim berucap pada Pengumuman Calon PKR Zon Timur di Dewan Terbuka Persatuan ATM Cawangan Pasir Gudang hari ini. FOTO BERNAMA
Omar Ahmad.


Pasir Gudang: Parti Keadilan Rakyat (PKR) selesai mengumumkan 20 calon yang akan mewakili parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

Ia sekali gus menamatkan spekulasi rundingan pembahagian tiga kerusi PKR kepada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang berlarutan sebelum ini.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan tujuh calon terakhir bagi Zon Tengah dan Zon Timur di Dewan Serbaguna Kampung Kopok Baru, di sini, hari ini.

"Calon N20 Dewan Undangan Negeri (Dun) Semarang, Naib Ketua Wanita PKR Negeri Johor, Haryati Abu Nasir, 52. Ketua Cabang Keadilan Tanjung Piai, Mohd. Zaiful Bakri (N56 Dun Kukup), Rosman Tahir (N39) Dun Tanjung Surat) dan Ahli Majlis Pimpinan Keadilan Negeri Johor, Haniff @Ghazali Hosman (N53 Dun Benut).

"Turut dinamakan sebagai calon ialah calon termuda iaitu Ahli Jawatankuasa Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Omar Mokhtar A. Manap (N37 Dun Johor Lama), Timbalan Ketua Wanita PKR Johor, Zulinah A. Johari (N33 Dun Tenggaroh) dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senggarang, Khairuddin (N25 Dun Rengit)," katanya.

Sebelum ini, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson turut mengumumkan 13 calon PKR lain yang akan bertanding pada PRN Johor nanti.

Mereka terdiri daripada Pengerusi PKR Johor, S. Gopalakrishnan (Tiram), Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Fakhruddin Moslim (Pasir Raja) dan Arthur Chiong Sen Sern (Bukit Batu).

Ketua Wanita PKR Johor, Napsiah Khamis Maharan (Kempas), Dr. Zamil Najwah Arbain (Larkin) dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik (Layang-layang) turut dicalonkan.

Isnin lalu, Anwar turut memperkenalkan tujuh calon parti itu bagi kawasan zon Utara iaitu C. Subramani (Buloh Kasap) Yoong Thau (Pemanis); Azmi Masrani (Sri Medan) dan Abdullah Sahid (Sungai Balang).

Turut diumumkan ialah bekas Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar (Semerah) Md Ysahruddin Kusni (Bukit Naning) Na'im Jusri (Gambir).

Daripada jumlah itu, hanya tiga calon sahaja akan mempertahankan kerusi dimenangi mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) iaitu Gopalakrishnan, Khuzzan dan Md Ysahruddin manakala majoritinya adalah muka baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Februari 2022 @ 9:33 PM