MOHD Ayob ditemui lemas pada hari ketiga operasi SAR di perairan Kuala Kuar, hari ini. FOTO ihsan APMM
MOHD Ayob ditemui lemas pada hari ketiga operasi SAR di perairan Kuala Kuar, hari ini. FOTO ihsan APMM
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Nelayan yang hilang di laut selepas bot dinaiki bersama dua rakannya dipukul ombak di perairan Kuala Kuar, awal pagi kelmarin, ditemui lemas, hari ini.

Jasad Mohd Ayob Jalaluddin, 39, ditemui pada hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan di kawasan perairan Kuala Kuar.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, jasad Mohd Ayob ditemui terapung oleh bot nelayan tempatan di kedudukan 5.9 batu nautika muara Kuala Kuar pada 1.30 tengah hari.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam sekitar 1.10 tengah hari yang memaklumkan penemuan mayat terapung tanpa baju dan Zon Maritim Kuala Kedah terus mengatur gerak bot PERKASA 1226 ke lokasi penemuan.

"Setibanya di lokasi, mayat itu dibawa naik ke atas sebuah bot nelayan tempatan pada kedudukan 1.7 batu nautika dari lokasi mangsa dipercayai jatuh dan dipindahkan ke bot PERKASA 1226 untuk dibawa ke Jeti Nelayan Kuala Kuar.

"Mayat kemudian dipindahkan ke bot aluminium Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berikutan keadaan muara cetek dan air surut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Noor Azreyanti berkata, mayat itu disahkan oleh waris mangsa sebelum diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk proses bedah siasat.

Sehubungan itu, katanya, APMM mengingatkan semua yang berhasrat melakukan aktiviti di laut agar mengambil langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik dan membawa Personal Locator Beacon (PLB).

"Zon Maritim Kuala Kedah meminta orang awam untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

"Operasi SAR ini membabitkan APMM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Pasukan Polis Marin (PPM) dan APM)serta dibantu bot nelayan pantai," katanya.

Media semalam melaporkan, isteri mangsa, Siti Kholijah Mohd Rosli, 40, berkata, suaminya menunjukkan perubahan sikap apabila meminta dia menjaga empat anak mereka dengan baik dan memberi pelajaran sempurna jika dia tiada.

Malah, arwah sempat meminta isterinya memasak asam pedas ikan semilang masak nanas kerana teringin hendak makan sebelum keluar ke laut.

Berita berkaitan

'Nelayan hilang selepas bot dipukul ombak kuat'

'Dia sempat makan asam pedas ikan semilang' - Isteri [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 5:23 PM