BAHAGIAN ruang rahsia yang ditemui dalam bot nelayan. FOTO Ihsan APMM.
BAHAGIAN ruang rahsia yang ditemui dalam bot nelayan. FOTO Ihsan APMM.
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Satu ruang rahsia yang ditemui di bawah sebuah bot nelayan pukat tunda kelas C yang ditutup dengan kayu papan lapis membongkar kegiatan tiga lelaki yang disyaki terbabit melakukan pengubahsuaian tangki minyak bot untuk kegiatan penyeludupan.

Bot itu ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah pada kedudukan empat batu nautika barat Kuala Kuar, jam 2.30 pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, bot nelayan tempatan itu ditahan ketika sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan sebelum dihampiri bot ronda APMM yang ketika itu sedang melakukan rondaan Op Aman di sekitar perairan Kedah.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan dilakukan ke atas bot itu, pihaknya menemui satu ruang asing yang dibuat di bawah rumah bot itu dan ditutupi dengan kayu papan lapis.

"Anggota penguat kuasa kemudian bertindak membongkar kayu papan itu dan menemukan dua tangki minyak yang sudah diubahsuai dan mengesyaki bot berkenaan terbabit dalam aktiviti penyeludupan minyak.

"Berikutan itu, ketiga-tiga lelaki tempatan berusia antara 22 hingga 58 tahun itu ditahan bersama bot dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Azreyanti berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen seperti yang ditetapkan di dalam buku lesen.

Katanya, bagi kesalahan mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 mereka boleh didakwa di mahkamah atas kesalahan melanggar syarat lesen dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

"Kita masih menjalankan siasatan sama ada ketiga-tiga lelaki itu adalah nelayan atau sebaliknya dan sejauh mana aktiviti yang mereka lakukan itu.

"Sehubungan itu, pengusaha bot nelayan tempatan diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang sudah diperuntukkan," katanya.

Noor Azreyanti berkata, APMM tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di perairan negara dan mengalu-alukan aduan dan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2022 @ 10:16 AM