Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: "Suami teringin sangat mahu makan asam pedas ikan semilang masak nanas dan minta saya masak pada tengah hari kelmarin.

"Saya sempat tunaikan permintaannya tetapi pelik apabila dia minta saya ambil gambarnya buat kenangan," kata Siti Kholijah Mohd Rosli, 40.

Menurutnya, suaminya, Mohd Ayob Jalaluddin, 39, juga berpesan kepadanya supaya menjaga empat anak mereka dengan baik dan beri pelajaran yang sempurna jika dia meninggal dunia.

SITI (tengah) bersama empat anaknya menunjukkan gambar suaminya yang hilang di laut selepas bot yang dinaikinya dipukul ombak kuat. FOTO Zulaity Zulkiffli
SITI (tengah) bersama empat anaknya menunjukkan gambar suaminya yang hilang di laut selepas bot yang dinaikinya dipukul ombak kuat. FOTO Zulaity Zulkiffli

Katanya, dia sangkakan suaminya hanya bergurau namun terkejut apabila dimaklumkan suaminya hilang selepas terjatuh di laut akibat bot yang dinaiki bersama dua rakannya termasuk tekong dipukul ombak kuat di perairan Kuala Kedah, semalam.

"Saya hanya mengetahui suami jatuh laut selepas dimaklumkan oleh anak saudara pada 5.30 pagi semalam dan saya hampir pengsan apabila mendengar berita itu.

"Sampai sekarang, jasadnya masih belum ditemui dan kami sekeluarga turut melakukan bacaan Yassin serta solat hajat dengan harapan suami ditemui segera," katanya.

Menurut Siti Kholijah, pada hari kejadian dia memang berasa tidak sedap hati dan meminta suaminya supaya tidak turun ke laut pada malam kejadian.

Katanya, Mohd Ayob keluar dari rumah mereka di Kuala Sala pada 8 malam kelmarin bersama seorang rakannya dan tekong.

Menurutnya, suami baru dua bulan menjadi nelayan untuk menyara mereka sekeluarga yang mempunyai empat anak iaitu Adam Hakimi Mohd Ayob, 16; Nur Balqis, 12; Muhammad Shahrul Aiman, 10, dan Muhammad Rayyan Naufal, 7.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Kuala Kedah Leftenan Maritim Zool Hilmi Mohd Nadzir berkata, sehingga 3 petang hari ini, tiada sebarang petunjuk baharu ditemui di lokasi pencarian di kawasan Kuala Kuar.

Menurutnya, operasi sudah melebihi 18 jam pada hari kedua hari ini membabitkan pelbagai agensi termasuk APMM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan bantuan 13 bot nelayan tempatan.

"Operasi pencarian dipecahkan kepada empat sektor dan diperluaskan membabitkan keluasan 105.4 batu nautika persegi.

"Keadaan laut ketika ini agak bergelora namun cuaca dalam keadaan baik dan kita berharap mangsa dapat ditemui hari ini," katanya.

Semalam dilaporkan, Mohd Ayob dikhuatiri lemas dipercayai terjatuh ke dalam laut selepas bot yang dinaiki dipukul ombak kuat pada kedudukan 6.7 batu nautika di perairan Kuala Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Februari 2022 @ 4:34 PM