Bot milik JBPM Kedah membantu melakukan pencarian nelayan yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut. FOTO IHSAN APMM
Bot milik JBPM Kedah membantu melakukan pencarian nelayan yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut. FOTO IHSAN APMM
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Seorang kru bot nelayan tempatan dikhuatiri lemas dipercayai terjatuh ke dalam laut selepas bot dinaiki bersama tekong dipukul ombak kuat pada kedudukan 6.7 batu nautika barat laut Kuala Kedah, di sini, hari ini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi mengaktifkan Operasi CARILAMAT dan mengatur gerak bot PERKASA 1224 sejurus menerima maklumat daripada pengadu, Ismail Saidin, bagi mendapatkan bantuan.

Beliau berkata, dalam kejadian 5.30 pagi itu, bot nelayan tempatan Kelas A yang berpangkalan di Kuala Sala itu sedang melakukan aktiviti menangguk siput, sebelum tekong menyedari mangsa tiada di atas bot.

"Mangsa, Mohd Ayob Jalaluddin, 39, dipercayai terjatuh ke dalam laut selepas bot mereka dipukul ombak kuat sewaktu dalam perjalanan balik ke pangkalan.

"Usaha mengesan mangsa turut disertai agensi lain yang terdiri daripada Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta beberapa bot nelayan tempatan," katanya, hari ini.

Noor Azreyanti berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa ditangguhkan pada 7 malam dan akan disambung semula esok.

Beliau berkata, setakat ini tiada sebarang petunjuk baharu ditemui di lokasi pencarian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Februari 2022 @ 8:14 PM