Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Umat Islam yang bakal menunaikan umrah perlu bersikap jujur dan mematuhi peraturan ditetapkan termasuk tidak menipu sijil vaksinasi mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, langkah itu penting bagi mengelak penularan Covid-19.

Beliau berkata, jemaah umrah sepatutnya menggunakan sebaik mungkin peluang menunaikan umrah dengan mematuhi peraturan sedia ada selepas kerajaan memberi kebenaran itu bermula 8 Februari.

"Sepatutnya tak berlaku (penipuan), kita nak pergi tempat suci kemudian pula dapat mudarat kepada orang…jadi tak sepatutnya berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Multaqa Murabbi Ummah Negeri Terengganu Tahun 2022 di Masjid Seberang Takir, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah.

Ketika ditanya sekiranya kes penipuan sijil vaksinasi berulang, Idris berkata, pihaknya menyerahkan perkara kepada agensi berkaitan.

"Umrah ini bukan bidang kuasa saya (tetapi) bidang MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia)," katanya.

Mengulas lanjut, Idris berkata, prosedur operasi standard (SOP) baharu yang mewajibkan pengambilan dos penggalak ke atas jemaah umrah Malaysia adalah berdasarkan kepada kehendak Kerajaan Arab Saudi.

"Peraturan itu ditetapkan Arab Saudi, kita nak pergi ke tempat dia, jadi kita kena ikut," katanya.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dilaporkan mengumumkan terdapat jemaah umrah dari Malaysia yang pulang ke tanah air disahkan positif Covid-19 varian Omicron selain ada antara mereka tidak divaksinasi.

Terdahulu, kerajaan memutuskan kebenaran menunaikan umrah di Makkah bermula 8 Februari lalu, selepas ditangguhkan sejak 8 Januari lalu susulan penularan varian Omicron.

 IDRIS (tengah) diiringi Mohd Nor (kiri) menyampaikan surat lantikan guru takmir lantikan 2022 di Masjid Seberang Takir, Kuala Nerus, hari ini. FOTO GHAZALI KORI
IDRIS (tengah) diiringi Mohd Nor (kiri) menyampaikan surat lantikan guru takmir lantikan 2022 di Masjid Seberang Takir, Kuala Nerus, hari ini. FOTO GHAZALI KORI

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 5:09 PM