KOLONI lebah ditemui dalam dinding bilik tidur kanak-kanak perempuan di North Carolina, Amerika Syarikat (AS). FOTO Agensi/TikTok classashley
KOLONI lebah ditemui dalam dinding bilik tidur kanak-kanak perempuan di North Carolina, Amerika Syarikat (AS). FOTO Agensi/TikTok classashley
Agensi

New York: Bunyi aneh dan 'menyeramkan' dari dinding bilik tidur yang menghantui seorang kanak-kanak perempuan di North Carolina, Amerika Syarikat (AS) membongkar dinding itu sebenarnya dipenuhi lebih 50,000 lebah.

Metro UK melaporkan ibu kanak-kanak itu, Ashley Class sudah lama cuba membantu anak perempuannya tidur kerana anak gadis kecil itu sentiasa mengadu mendengar 'raksasa' bergerak di dinding.

Memandangkan bunyi itu berterusan, Ashley menyiasat menggunakan kamera pengimejan haba yang mendedahkan sekumpulan besar lebah tinggal dalam dinding berkenaan.

Berkongsi perjalanan menemui dan mengalihkan koloni lebah di TikTok, Ashley menyifatkan penemuan itu sebagai 'mimpi ngeri'.

"Apabila dinding itu ditebuk, kami menemui koloni lebah yang mempunyai kira-kira 50,000 serangga itu serta sejumlah besar sarang lebah dengan madu.

"Hari pertama misi penyingkiran, penternak lebah mengeluarkan lebih 20,000 lebah dan 45 kilogram (kg) sarang lebah dari dalam dinding.

"Dia menemui ratu dan membawa sarangnya ke rumah baru dengan selamat.

"Lebih 20,000 lagi lebah dikeluarkan dari dinding pada hari kedua.

"Biasanya, apabila ratu sudah ditemui dan diambil dari sarang, lebah akan mengikuti untuk melindunginya, bermakna ini adalah bahagian penting untuk mengeluarkan lebah dari tempat yang bukan miliknya," katanya.

Katanya, dia tidak dapat menjelaskan mengapa mereka tidak menyedari kehadiran lebah itu sebelum ini.

Ashley berkata, lebah itu didapati masuk melalui cerobong asap dan terdapat paip tanah liat lama yang mana ia digunakan untuk memanaskan semua bilik berbeza berusia 100 tahun.

"Laluan itu dibina sehingga bilik anak perempuan saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2024 @ 3:46 PM