GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Serdang: Polis menafikan dakwaan kononnya tidak menjalankan siasatan berhubung satu kejadian kemalangan maut membabitkan anak kepada bekas Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang mengesan satu ciapan yang tular menerusi Twitter dengan yang mendakwa pihaknya tidak menjalankan siasatan berhubung kemalangan itu.

Menurutnya, pihak polis menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu dan mengesahkan bahawa siasatan berhubung kes berkenaan sudah dibuka sejurus selepas laporan polis mengenainya diterima.

"Selain daripada itu, kuasa untuk menutup mana-mana siasatan bukanlah terletak di bawah bidang kuasa pihak polis dan atas sebab itu, adalah sangat mustahil sama sekali wujudnya campur tangan dari mana-mana pihak.

"Semua langkah-langkah perlu dalam prosedur siasatan dilaksanakan sepenuhnya termasuk membuat ujian darah dan air kencing di mana keputusan ujian air kencing adalah negatif dadah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anbalagan berkata, keputusan ujian toksikologi terhadap sampel darah masih belum diperolehi dari Jabatan Kimia Malaysia.

"Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk tidak mempercayai tohmahan yang tidak berasas seperti ini.

"Pihak polis akan menjalankan siasatan seadil-adilnya kepada kedua-dua belah pihak berlandaskan peruntukkan undang-undang.

"Konsep keadilan ini meliputi hak bagi orang yang menjadi mangsa dan juga kepada orang yang sedang disiasat," katanya.

Beliau berkata, pihak polis ingin menegaskan sekali lagi bahawa tohmahan seperti itu bertujuan untuk menjatuhkan reputasi pihak polis demi kepentingan peribadi pihak yang tidak bertanggungjawab.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Februari 2022 @ 5:25 PM