Mohamad Izam Seran
Mohamad Izam Seran
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Penetapan harga runcit ayam standard pada RM8.90 sekilogram dibuat kerajaan yang ditampung melalui subsidi sehingga kos pengeluaran ayam kembali rendah dan stabil dihargai serta melegakan pengguna.

Malah, orang ramai berharap supaya subsidi selama 121 hari sehingga 5 Jun itu diteruskan sehingga harga bahan mentah itu benar-benar stabil.

Pekerja swasta, Nor Azura Mohd Amin, 34, berkata langkah kerajaan menstabilkan harga ayam menerusi subsidi itu adalah usaha terpuji yang membuktikan keluh kesah rakyat didengari.

"Kenaikan harga ayam yang sebelum ini mencecah hampir RM10.50 sekilogram amat membebankan pengguna berikutan ia antara bahan mentah yang menjadi pilihan kebanyakan keluarga.

"Apabila harga siling ayam standard ditetapkan pada RM8.90 sekilogram, ia sedikit sebanyak melegakan pengguna berikutan hampir setiap bulan kenaikan harga bahan mentah itu berlaku.

"Sebagai pengguna saya berharap supaya harga siling ayam diturunkan lagi ke paras RM7.50 bagi meredakan tekanan namun jika ia tidak dapat dilakukan, subsidi serta harga siling itu perlu dilanjutkan lebih lama," katanya.

Rabu lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menetapkan harga siling runcit ayam standard RM8.90 sekilogram di Semenanjung bermula Sabtu lalu.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilaporkan berkata, ia berkuat kuasa sselepas berakhir Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) pada Jumaat lalu, dengan harga itu akan kekal sehingga 5 Jun 2022 iaitu selama 121 hari bagi menjamin kestabilan harga ayam segar di pasaran.

Sekiranya tiada intervensi daripada kerajaan, harga runcit ayam segar di pasaran masa ini akan melebihi RM10 sekilogram.

Dalam pada itu, peniaga makanan, Mohamad Izam Seran, 50, turut memuji langkah kerajaan menstabilkan harga ayam standard di pasaran.

"Peniaga makanan yang juga pengguna utama ayam turut terjejas apabila harga mendadak naik kepada hampir RM11 sekilogram sebelum ini.

"Saya terpaksa menaikkan harga makanan berasaskan ayam berikutan tersepit dengan harga yang tinggi, namun langkah menstabilkan harga oleh kerajaan melegakan peniaga dan mungkin harga makanan akan diturunkan sedikit.

"Saya berharap supaya harga siling ayam diturunkan lagi berikutan menu ayam menjadi pilihan utama pelanggan kerana harganya yang mampu milik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Februari 2022 @ 1:34 PM