ST Jegan lega harga siling ayam standard akan dikurangkan 20 sen bermula bermula 5 Februari ini. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
ST Jegan lega harga siling ayam standard akan dikurangkan 20 sen bermula bermula 5 Februari ini. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Pengguna menyambut baik keputusan kerajaan menetapkan harga maksimum runcit bagi ayam standard RM8.90 sekilogram bermula 5 Februari ini hingga 5 Jun depan.

Tinjauan di Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Jalan Tun Fatimah, Bachang, di sini, mendapati pengguna berharap harga siling itu dikurangkan lagi berbanding pengurangan 20 sen daripada harga siling semasa RM9.10.

Pembeli, ST Jegan, 43, berkata, dia lega apabila mengetahui harga siling ayam standard dikurangkan 20 sen bermula Sabtu ini.

Katanya, pengurangan harga itu walaupun kecil boleh membantu pengguna berjimat terutama bagi keluarga besar serta peniaga makanan yang membeli bekalan ayam dalam kuantiti banyak.

"Saya membeli dua hingga tiga ekor ayam setiap kali ke pasar ini dan dalam seminggu, dua hingga tiga kali saya ke pasar untuk membeli barang keperluan termasuk ayam segar untuk hidangan keluarga.

"Memang wajar harga ayam standard ini diturunkan dan jika boleh, lebih rendah lagi," katanya.

Pekerja swasta, Siti Nur Halija Zamani, 30, berkata, dia berterima kasih atas keprihatinan kerajaan dalam mengawal dan menetapkan harga barangan keperluan termasuk ayam standard demi kepentingan rakyat.

"Syukur kerana kerajaan peka keluhan rakyat yang berdepan banyak dugaan untuk menyara keluarga ketika pandemik Covid-19 ini termasuk ada ketua keluarga yang dibuang kerja dan sebagainya.

"Isu harga barang keperluan termasuk bekalan ayam perlu diambil serius. Jadi bila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob umum keputusan kerajaan kurangkan harga siling ayam ini, ia memang melegakan," katanya.

Pengguna dari Alor Gajah, Iskandar Jali, 37, turut senada berhubung langkah kerajaan itu, namun berharap pihak berkuasa khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri membuat pemeriksaan dan pemantauan harga berterusan.

"Memang bagus kerajaan tetapkan harga siling awal-awal lagi agar pengguna dan peniaga dapat bersedia.

"Tapi saya bimbang jika ada peniaga berdegil dalam mematuhi arahan penetapan harga ini.

"Jadi pihak KPDNHEP kena buat kerja dengan membuat pemeriksaan di premis perniagaan selain di pasar awam bagi mengelak peniaga sewenang-wenangnya mengaut untung dengan menaikkan harga," katanya.

Sementara itu, peniaga ayam di Pasar Besar MBMB didapati akur dengan kawalan harga semasa ditetapkan kerajaan.

Bukan hanya mempamerkan pelekat merah jambu, malah harga jualan termasuk ayam standard jelas ditulis RM9.10 sekilogram.

Peniaga, Salehuddin Maarop, 50, berkata, setakat ini dia tidak berdepan masalah kekurangan bekalan ayam biarpun ketika musim cuti perayaan Tahun Baharu Cina.

Katanya, dia membeli bekalan ayam segar kira-kira 100 ekor untuk jualan hari biasa dan menambah sehingga 200 ekor pada Sabtu dan Ahad serta bergantung kepada permintaan.

"Setakat ini permintaan pengguna menggalakkan dan bekalan ayam tiada masalah.

"Dari segi harga kita akur dengan arahan semasa. Jika sebelum kawalan harga saya jual ayam standard RM9.30 sekilogram, tapi sekarang kekal RM9.10," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Februari 2022 @ 4:01 PM