Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: "Sejak malam tadi, tiga anak saya bersemangat tunggu hari ini bagi menerima suntikan vaksin Covid-19.

"Saya berasa lega apabila ketiga-tiga mereka menerima suntikan dos pertama hari ini kerana lebih yakin apabila ke sekolah dan berhadapan dengan orang ramai," kata Nurul Alimin Mustafa, 42.

Ibu kepada empat anak itu berkata, tiga anaknya, Umar Achmad Rachmad Kurniawan, 11; Umairah, 9, dan Umaimah, 7, menerima suntikan itu di Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) hari ini.

Menurutnya, anaknya tidak menunjukkan perasaan takut dan kelihatan lebih seronok apabila melihat kanak-kanak lain turut menerima suntikan dos pertama pada hari kedua PICKids di sini.

"Melalui suntikan ini, mereka akan mendapat perlindungan daripada virus dan program suntikan ini sememangnya bagus untuk melindungi anak kita.

"Anak-anak saya sendiri memang mahukan suntikan vaksinasi untuk diri mereka dan bertanyakan tentang perkara itu kepada dirinya sejak kelmarin," katanya yang menetap di Kuala Kedah.

Suri rumah, Rusmina Ibrahim, 49, pula berkata, anak keenamnya, Firiyal Bostomi, 7, antara yang tidak melepaskan peluang menerima suntikan vaksin terbabit.

NURUL Alimin (dua dari kiri) bersama tiga daripada empat anaknya yang menerima suntikan dos pertama vaksin pada program PICKids di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB). FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
NURUL Alimin (dua dari kiri) bersama tiga daripada empat anaknya yang menerima suntikan dos pertama vaksin pada program PICKids di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB). FOTO ZULIATY ZULKIFFLI

Menurutnya, kini dia lebih yakin dan selamat untuk menghantar anak ke sekolah disebabkan dia mendapat suntikan imunisasi, sekali gus mampu mencegah daripada penyakit berjangkit.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Othman Warijo berkata, pihaknya mensasarkan kira-kira 80 peratus kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun di Kedah akan menerima suntikan vaksin dalam tempoh enam bulan.

Menurutnya, jumlah keseluruhan yang mendaftar melalui MySejahtera di negeri itu adalah 33,930 orang.

Katanya, daripada jumlah itu, daerah Kuala Muda mencatatkan jumlah pendaftaran tertinggi iaitu sebanyak 10,938, manakala Bandar Baharu paling rendah dengan 478 pendaftaran buat masa ini.

"Terdapat empat pusat pemberian vaksin khas (SPPV) untuk kanak-kanak memiliki tahap imuniti renda dan komorbiditi di Kedah, iaitu HSB, Hospital Sultan Abdul Halim, Hospital Kulim dan Hospital Sultanah Maliha.

"Kita juga akan memulakan suntikan PICKids ini di klinik kesihatan dan pusat pemberian vaksin (PPV) 'offsite' yang masih beroperasi di Kedah, selain itu akan diadakan PPV 'outreach' ke sekolah-sekolah bagi memudahkan akses dan meningkatkan liputan suntikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Februari 2022 @ 12:26 PM