GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Penurunan harga siling ayam 20 sen kepada RM8.90 bermula hari ini, dilihat tidak banyak mengurangkan perbelanjaan keperluan harian kerana peningkatan harga barang asas yang lain.

Penjawat awam, Juwita Halim, 42, berkata, meskipun harga ayam turun, namun penurunan itu tidak begitu ketara memandangkan harga makanan asas berkenaan meningkat berterusan dalam tempoh beberapa bulan lalu.

"Penurunan harga ini (ayam) tidak banyak membantu mengurangkan kos perbelanjaan harian kerana harga ayam sebelum ini memang sentiasa meningkat dengan cepat hingga dua kali ganda jika dibandingkan dalam tempoh beberapa tahun lalu.

"Walaupun harga ayam mahal, saya perlu juga membeli bahan mentah itu tiga kali seminggu kerana ia adalah makanan ruji kami," katanya ditemui di Pasar Kajang di sini.

Seorang lagi pengunjung, Salim Mohamad, 65, berkata, dia berharap penurunan harga ayam ini dapat dikekalkan secara konsisten dengan kawalan di setiap peringkat bermula daripada peladang sehingga peniaga.

"Sebelum ini, harga ayam naik berterusan dan hanya ada kalanya turun sedikit. Sepanjang tempoh harga ayam naik dan turun itu, saya tetap juga membelinya empat kali seminggu.

"Ini kerana, kami gemar makan berlaukkan ayam. Justeru, saya berpendapat, perlu ada kawalan harga di setiap peringkat bermula daripada peladang sehingga peniaga supaya harga ayam turun secara konsisten," katanya yang juga pesara kerajaan.

Sementara itu, peniaga ayam di Pasar Kajang, Mohd Rozain Ghazali, 37, berkata, walaupun harganya turun namun peniaga masih berdepan kekurangan bekalan.

"Ketika ini, ada ramai peniaga ayam berdepan isu kekurangan bekalan. Ia menjejaskan pendapatan kami apabila tidak mampu menampung permintaan pelanggan.

"Saya hanya menerima 100 ekor sehari berbanding 200 yang ditempah daripada dua pembekal. Ia berlarutan sejak beberapa bulan lalu," katanya.

Mohd Rozain yang sudah 10 tahun berniaga di Pasar Kajang berharap kerajaan dapat membantu mengatasi masalah kekurangan bekalan yang dilihat tidak menunjukkan tanda-tanda akan pulih.

"Kebiasaannya, isu bekalan akan pulih dalam tempoh beberapa minggu saja, namun kali ini, ia berlarutan sehingga beberapa bulan seolah-olah tiada jalan keluar bagi masalah ini.

"Bagi peniaga, jika bekalan tidak ada, penurunan harga pun tiada guna kerana kami tiada jualan sekali gus menyebabkan kami tidak ada kemampuan untuk menanggung komitmen lain seperti membayar gaji pekerja.

"Isu ini akan sentiasa menjadi beban serta dilema kepada peniaga kerana kami bergantung sepenuhnya kepada bekalan," katanya.

Tinjauan di Pasar Kajang dan Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur mendapati, semua peniaga ayam mematuhi harga siling ayam yang ditetapkan iaitu RM8.90 berbanding RM9.10.

Sebelum ini, media melaporkan, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) mengenai Industri Pengeluaran Makanan memutuskan harga runcit maksimum bagi ayam standard dikurangkan 20 sen kepada RM8.90 daripada harga siling RM9.10 yang ditetapkan.

Keterangan gambar:

1. PENIAGA ayam di Pasar Kajang, Mohd Rozain Ghazali, 37.

2. BEKALAN ayam di premis jualan Mohd Rozain yang habis dijual sejak kira-kira jam 10 pagi tadi.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Februari 2022 @ 2:08 PM