Mohd Solihan Badri
Mohd Solihan Badri
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Perikatan Nasional (PN) Johor mengesyaki ada parti politik tertentu menjadi dalang berhubung tindakan beberapa ahli dewan undangan negeri (Adun) gabungan itu yang mengumumkan keluar parti, sejak Khamis lalu.

Ketua Penerangan PN Johor, Mohd Solihan Badri berkata, tindakan berkenaan dipercayai untuk menjejaskan kewibawaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"PN percaya ada parti politik tertentu menyediakan naratif berhubung tindakan beberapa Adun Bersatu termasuk Adun Larkin, Datuk Mohd Izhar Ahmad, yang keluar parti semalam.

"Kita percaya ia kononnya dengan harapan untuk menjejaskan kewibawaan serta imej PN dan Bersatu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

"Bagaimanapun tindakan beberapa Adun itu tidak memberi kesan kepada Bersatu melainkan ia sekadar memenuhi kehendak pihak yang mempengaruhinya berbuat demikian untuk melemahkan parti," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Mohd Izhar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor itu mengumumkan keluar Bersatu berkuat kuasa serta merta.

Khamis lalu, Ketua Bahagian Bersatu Tebrau, Mazlan Bujang, dilaporkan meletak jawatan ketua bahagian sekali gus mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.

Bagaimanapun, Mazlan yang juga Adun Puteri Wangsa dan bekas Pengerusi Bersatu Johor, dilaporkan berkata, beliau tidak menyertai mana-mana parti setakat ini, namun menyokong kerajaan BN.

Sementara itu, Mohd Solihan yang juga Ketua Penerangan Bersatu Johor berkata, Mohd Izhar juga cuba merasionalkan tindakan keluar Bersatu dengan memberi pelbagai alasan termasuk parti sudah hilang hala tuju dan gagal meneruskan agenda penubuhannya.

"Bersatu Johor menyifatkan alasan Mohd Izhar keluar parti selepas mendakwa hilang kepercayaan kepada Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin, juga tidak berasas, sebaliknya kerana beliau menganggap PN akan tewas dalam PRN Johor sekali gus akan kehilangan jawatan EXCO dan lantikan ahli Lembaga pengarah syarikat kerajaan negeri.

"Justeru, Mohd Izhar beranggapan dengan keluar Bersatu, peluang untuk menyertai parti tertentu dan kekal menjadi EXCO adalah terbuka walaupun mendakwa tidak mahu mempertahankan kerusi DUN Larkin mahupun bertanding di mana-mana DUN lain pada PRN Johor kali ini.

"Sebaliknya, tindakan dan dakwaan Mohd Izhar kini mencetuskan pelbagai persepsi negatif sekali gus bakal memakan diri beliau sendiri kerana dilakukan ketika DUN sudah dibubarkan bagi memberi laluan pilihan raya diadakan dalam masa terdekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 January 2022 @ 12:54 PM