MOHD Izhar (kiri) dan Mohd Solihan antara disebut bakal dilantik sebagai EXCO baharu Johor, esok. FOTO Arkib NSTP.
MOHD Izhar (kiri) dan Mohd Solihan antara disebut bakal dilantik sebagai EXCO baharu Johor, esok. FOTO Arkib NSTP.
Ibrahim Isa


TIGA nama disebut bakal dilantik Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) baharu Johor, manakala dua penyandang akan berubah portfolio bermula esok.

Mereka bakal mengangkat sumpah di Istana Bukit Serene di Johor Bahru, esok.

Nama disebut-sebut bakal dilantik sebagai EXCO termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Mohd Solihan Badri dan ADUN Larkin, Mohd Izhar Ahmad daripada BERSATU.

Satu lagi nama adalah ADUN Jementah, Tan Chen Choon daripada DAP.

Pertukaran barisan EXCO dilakukan atas titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang mahukan perubahan selepas melantik Menteri Besar baru, selain melihat pencapaian mereka sepanjang Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan.

Selain kelayakan dan pengalaman, pemilihan dilakukan atas keselesaan Menteri Besar, Dr Sahruddin Jamal untuk bekerja dengannya bagi memastikan kemajuan Johor dapat diteruskan.

Antara tiga nama itu, Tan paling berpengalaman kerana pernah menjadi ADUN sebelum ini.

Manakala Mohd Izhar dan Mohd Solihan pertama kali dilantik sebagai ADUN selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14.

Malah nama Mohd Solihan dan Mohd Izhar sebelum ini pernah disebut bakal dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-17, sebelum Dr Sahruddin dilantik.

Difahamkan, pelantikan mereka bukan sahaja menukar EXCO lama, malah ada EXCO yang akan memberi laluan untuk mengambil alih tempat ditinggalkan Menteri Besar baru.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2019 @ 11:55 PM