PARTI Pribumi Bersatu Malaysia
PARTI Pribumi Bersatu Malaysia
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Larkin Datuk Mohd Izhar Ahmad dijangka membuat pengumuman berhubung masa depannya bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), petang ini.

Mohd Izhar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor berkata, beliau akan memberi penjelasan berhubung pendiriannya berkenaan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Bersatu, pada sidang media petang ini.

"Saya akan sahkan segala-galanya petang ini," katanya ketika dihubungi.

Ditanya adakah beliau akan meninggalkan Bersatu, Mohd Izhar tidak menafikan perkara itu.

"Ya, ia ke arah itu (meninggalkan Bersatu). Saya akan jelaskan petang ini semuanya," katanya.

Terdahulu, jemputan ke sidang media khas Mohd Izhar diedarkan kepada media petang tadi. Turut tular, dakwaan beliau akan menyertai Umno.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, Mohd Izhar menerusi tiket Bersatu memenangi kerusi Dun Larkin dengan 25,012 undian menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dan Pas dengan majoriti 8,590.

Khamis lalu, Ketua Bahagian Bersatu Tebrau, Mazlan Bujang, dilaporkan meletak jawatan ketua bahagian sekali gus mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.

Bagaimanapun, Mazlan yang juga Adun Puteri Wangsa dan bekas Pengerusi Bersatu Johor, dilaporkan berkata, beliau tidak menyertai mana-mana parti setakat ini, namun menyokong kerajaan BN.

Katanya, keputusan itu diambil selepas menilai dan menimbang perkara itu sejak sekian lama dengan pemikiran yang waras.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 January 2022 @ 3:34 PM