Alwiyah Talib. FOTO Arkib NSTP.
Alwiyah Talib. FOTO Arkib NSTP.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Endau, Alwiyah Talib menafikan akan meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) seperti dakwaan tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Beliau sebaliknya berkata, kesetiaannya masih kepada parti itu dan menyelar dakwaan berkenaan sambil menyifatkan ia tidak berasas dan merosakkan nama baiknya sebagai ahli parti yang setia.

"Khabar angin saya akan tinggalkan Bersatu adalah tidak benar dan berniat jahat sedangkan saya di Endau masih menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat Bersatu tanpa henti.

"Saya akan tetap setia bersama Bersatu dan hanya mahu berkhidmat kepada rakyat di kawasan saya.

"Memang terperanjat apabila nama saya tiba-tiba dikait dan ditularkan antara Adun Bersatu yang akan tinggalkan parti, sedangkan tiada sesiapa pun yang tanya atau datang berbincang apa-apa," katanya ketika dihubungi.

Sejak beberapa hari lalu, nama Alwiyah dikaitkan sebagai antara beberapa Adun Bersatu yang didakwa akan meninggalkan parti itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Sabtu lalu, Adun Larkin Datuk Mohd Izhar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri mengumumkan keluar daripada Bersatu berkuat kuasa serta merta.

Sebelum itu pada Khamis, Ketua Bersatu Tebrau Mazlan Bujang dilaporkan meletak jawatan ketua bahagian sekali gus mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.

Bagaimanapun, Mazlan yang juga Adun Puteri Wangsa dan bekas Pengerusi Bersatu Johor berkata, beliau tidak menyertai mana-mana parti setakat ini tetapi menyokong kerajaan Barisan Nasional.

Sementara itu, Alwiyah bersyukur apabila keluarga dan masyarakat Endau terus memberikan semangat dan sokongan walaupun berita tidak benar itu sedikit sebanyak menjejaskan nama baiknya.

"Bersatu Pusat juga ada hubungi dan saya menjelaskan tiada sebarang niat hendak keluar parti apatah lagi ada didatangi atau dihubungi pihak yang meminta saya keluar parti," katanya.

Dalam pada itu, beliau bersedia jika parti mahu mencalonkannya semula dalam PRN Johor nanti dan menyerahkan perkara itu kepada pucuk pimpinan untuk penilaian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 January 2022 @ 9:28 AM