FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Melor, di sini, ditutup berikutan 55 pelajar termasuk kakitangan sekolah dikesan positif Covid-19.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, kes dikesan di sekolah berkenaan bermula pada 19 Januari lalu.

Katanya, berikutan itu, kumulatif kes di sekolah terbabit adalah seramai 55 orang termasuk 25 kes dilaporkan semalam.

"Kesemua yang positif itu adalah hasil ujian saringan ke atas 78 kontak rapat di sekolah berkenaan.

"Susulan kes positif yang dikesan, sesi persekolahan SMKA Melor terpaksa ditangguhkan selama lapan hari bermula 20 sehingga 27 Januari ini.

"Ia akan digantikan dengan sesi Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR)," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, seramai 378 pelajar dan kakitangan sekolah menengah di negeri ini disahkan positif Covid-19 melalui 10 kluster pendidikan sehingga semalam.

"Antara kluster terbabit adalah Kluster Embi Telipot, Jalan Kompleks, Pulau Melaka, Padang Raja, Jalan Pangkal Kalong di Kota Bharu; Jalan Bandar Ciku, Gua Musang; Jalan Bukit Merbau, Pasir Puteh; Lorong Banggol Manok, Pasir Mas dan Kampung Tujuh Tumpat.

"Kira-kira 50 peratus daripada kumulatif kes membabitkan pelajar, manakala selebihnya adalah kakitangan dan orang awam," katanya.

Katanya, pada masa sama, terdapat 25 kluster yang aktif di negeri ini dengan kumulatif kes sebanyak 684 kes.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 January 2022 @ 6:31 PM