Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh, tiba di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, (PERSADA), bagi mempengerusikan Mesyuarat Khas Berkaitan PRN Johor ke-15.

Abdul Ghani yang diiringi Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak dan Pengarah SPR Johor, Nor Nekman Jaiman, tiba di PERSADA, 9.38 pagi tadi.

Mesyuarat khas PRN Johor itu yang dijadual bermula 10 pagi ini antara lain bagi membincangkan tarikh bagi writ pilihan raya dan daftar pemilih yang akan digunakan serta persiapan lain bagi mendepani PRN berkenaan.

Abdul Ghani dijadual mengadakan sidang media bagi mengumumkan tarikh penting termasuk hari penamaan calon, mengundi awal dan hari mengundi bagi PRN Johor, 12.30 tengah hari ini, di lokasi sama, sejurus mesyuarat itu selesai.

Berdasarkan Fasal (4) Perkara 23 Bahagian Kedua, Undang-Undang Johor, Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 berkehendakkan suatu pilihan raya umum diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN berkenaan.

ABDUL Ghani (tengah) ketika Mesyuarat Khas SPR. FOTO Nur Aisyah Mazalan
ABDUL Ghani (tengah) ketika Mesyuarat Khas SPR. FOTO Nur Aisyah Mazalan

SPR secara rasmi menerima notis daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat berhubung pembubaran DUN Johor penggal yang ke-14 pada 23 Januari lalu.

Pada 22 Januari lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dilaporkan berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor bagi memberi laluan kepada PRN.

Pada hari sama, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad jam 5 petang di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Kerajaan Johor sebelum ini dilaporkan memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang, berikutan kematian ahli dewan undangan negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian yang juga mantan Menteri Besar, pada 21 Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Februari 2022 @ 10:20 AM