GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Susulan kes harian Covid-19 meningkat semula melebihi 4,000 kes hari ini, pakar berpandangan Malaysia kemungkinan akan berhadapan gelombang baharu penularan virus itu.

Namun Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, apa yang penting perlu diketahui majoriti kategori pesakit yang dijangkiti sama ada serius atau ringan.

Berdasarkan data dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) minggu lalu, katanya, menunjukkan 98 peratus pesakit Covid-19 adalah dalam kategori 1 dan 2 iaitu tanpa gejala serta bergejala ringan.

"Jadi kita tak perlu risau sangat dengan kemungkinan gelombang baharu Covid-19. Sebagai persediaan, pihak berkenaan perlu tahu kumpulan mana yang ramai dijangkiti.

"Perlu fokus. Mungkin kumpulan pelajar sekolah atau Kluster Pendidikan. Apa pun, prosedur operasi standard (SOP) perlu diteruskan selain melengkapkan vaksinasi.

"Selain itu teruslah mengamalkan TRIIS (ujian saringan, melaporkan hasil ujian saringan, menjalani kuarantin, memaklumkan pada kontak rapat jika positif dan mendapatkan rawatan segera)," katanya.

Menurutnya, walaupun dijangkakan kes Covid-19 bakal melonjak namun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mungkin tidak perlu dilaksanakan sekali lagi selagi kes terkawal majoriti kategori ringan.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, kes harian berkemungkinan meningkat menjelang Thaipusam yang disambut Selasa lalu serta Tahun Baharu Cina pada 1 Februari depan.

Jumlah kes baharu Covid-19 yang dilaporkan hari ini mencatatkan peningkatan kepada 4,046 kes berbanding 3,764 kes yang direkodkan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, data terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes di Malaysia mencecah 2,824,973 kes setakat ini.

Untuk rekod dalam tempoh seminggu purata kes baharu adalah sekitar 3,000 iaitu pada 15 Januari (3,074 kes), 16 Januari (3,010 kes), 17 Januari (2,342 kes), 18 Januari (3,245 kes), 19 Januari (3,229 kes), 20 Januari (3,764 kes) dan 21 Januari (4,046 kes).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 6:55 PM