GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Malaysia merekodkan 27,808 kes baharu penularan Covid-19 semalam menjadikan jumlah keseluruhan individu dijangkiti virus berkenaan kini meningkat kepada 3,166,023 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah yang direkodkan itu membabitkan 27,689 kes tempatan dengan 632 kes lagi adalah import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Mengulas mengenai kes yang dilaporkan semalam, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 99.63 peratus bersamaan 27,705 kes adalah pesakit Covid-19 dalam kategori satu dan dua iaitu tidak mempunyai gejala dan bergejala ringan.

"Pecahan daripada jumlah yang dinyatakan itu, sebanyak 71.68 peratus iaitu 19,932 kes adalah pesakit Covid-19 dalam kategori dua manakala 7,773 kes (27.95 peratus) adalah pesakit kategori satu.

"Selebihnya, bagi kategori tiga terdapat 49 kes (0.18 peratus), kategori empat dengan 31 kes (0.11 peratus) serta bagi kategori lima adalah sebanyak 23 kes (0.08 peratus)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Daripada jumlah keseluruhan 103 kes bagi pesakit kategori tiga hingga lima, 43 kes iaitu 41.75 peratus belum divaksinasi atau belum lengkap mendapatkan pelalian berkenaan.

"Selain itu 41 kes sudah menerima dua dos vaksin.

"Sebanyak 19 kes sudah menerima dos penggalak, berumur 60 tahun ke atas (50 kes), mempunyai komorbid (44 kes), ibu mengandung (satu kes) dan meninggal dunia (16 kes) termasuk sembilan kes 'brought in dead' (BID)," katanya.

Mengulas mengenai pertambahan 16 kluster baharu di negara ini, Dr Noor Hisham berkata, ia menjadikan hingga kini terdapat 486 kluster yang masih aktif di negara ini.

"Perkembangan ini secara keseluruhannya menjadikan hingga kini sebanyak 6,692 kluster sudah direkodkan di negara ini sejak wabak berkenaan dikesan," katanya.

Katanya, dalam pada itu, bagi kes yang kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), hingga kini terdapat sejumlah 235 kes iaitu 92 daripadanya disahkan dijangkiti Covid-19 dengan 143 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

"Bagi pesakit dalam ICU dan memerlukan alat bantuan pernafasan, setakat ini terdapat seramai 132 kes iaitu 55 kes disahkan Covid-19 serta 77 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan," katanya.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan, semalam terdapat 12,488 kes sembuh direkodkan sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sepenuhnya daripada virus berkenaan adalah sebanyak 2,900,682 kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Februari 2022 @ 10:37 AM