MAHKAMAH Tinggi Shah Alam mengenepikan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 terhadap Daniel Iskandar dan Hakim Datuk Abd Halim Aman menggantikan hukuman itu pada 17 Januari lalu. FOTO BERNAMA
MAHKAMAH Tinggi Shah Alam mengenepikan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 terhadap Daniel Iskandar dan Hakim Datuk Abd Halim Aman menggantikan hukuman itu pada 17 Januari lalu. FOTO BERNAMA
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: "Anak saya kini ditempatkan di satu lokasi bagi memulihkan kembali semangatnya yang trauma dengan kejadian terbabit," kata ibu kepada Daniel Iskandar, 19, yang ingin dikenali Kak Jas.

Menurutnya, anaknya itu kini berada di satu tempat persendirian dan diuruskan pihak polis selepas dia dibebaskan daripada hukuman penjara.

"Cuma pihak warden yang bertanggungjawab menjaganya itu ada memaklumkan pada saya dia dalam keadaan baik dan sihat serta baru hendak pulih kembali semangatnya.

"Bagaimanapun, buat masa ini Daniel tidak mahu berjumpa sesiapa lagi dan biarlah dia di situ dahulu bagi memulihkan kembali dirinya," katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi, hari ini.

Kak Jas berkata, anaknya itu bukanlah penagih tegar seperti diperkatakan, sebaliknya dia baru terjebak dan ingin mencuba.

"Malah saya diberitahu oleh warden yang menjaganya, sekarang dia dalam keadaan normal dan tidak menggigil seperti penagih tegar.

"Cuma saya nak beritahu tempat itu bukanlah di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) tetapi ia milik persendirian yang membantunya pulih kembali," katanya.

Katanya, ketua kampung dan pengurusan masjid sudah berjumpa dengan datuk Daniel untuk berbincang dan mencari jalan penyelesaian.

"Saya meminta orang ramai di luar sana supaya jangan membuat spekulasi dan percaya dengan maklumat tidak sahih, sebaliknya dengarlah apa yang diceritakan oleh keluarga kami sendiri terutama dari datuknya," katanya.

Media sebelum ini, melaporkan seorang remaja yang videonya tular dalam media sosial kerana dimandikan seperti 'jenazah' akibat cuba mencuri tabung masjid, dipenjara 10 hari dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang.

Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu ke atas Daniel, selepas dia mengaku bersalah cuba mencuri tabung Masjid Al Islahiah dengan mengheret dan menyorokkan tabung itu di dalam bilik mandi jenazah di masjid berkenaan di Kuang, Rawang dekat sini pada 11.58 malam, 8 Januari lalu.

Bagaimanapun, pada 17 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengenepikan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 terhadap remaja itu dan Hakim Datuk Abd Halim Aman menggantikan hukuman itu kepada khidmat masyarakat selama 120 jam bagi tempoh enam bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 2:46 PM