DR Muhamad Akmal. FOTO Nuraliawati Sabri.
DR Muhamad Akmal. FOTO Nuraliawati Sabri.
Nuraliawati Sabri


Jasin: Seramai 87 pelajar daripada dua Kolej Vokasional di negeri ini disahkan positif Covid-19.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) turut mengesan berlaku penularan jangkitan di kedua-dua kolej terbabit.

Beliau berkata, daripada jumlah itu seramai 76 pelajar dari Kolej Vokasional di daerah Melaka Tengah dan bakinya dari Kolej Vokasional yang terletak di Alor Gajah.

"Setakat ini hanya satu Kolej Vokasional ditutup iaitu di Melaka Tengah kerana membabitkan kluster dan satu lagi dalam siasatan dan kemungkinan ditutup itu ada tetapi bergantung kepada hasil siasatan.

"Jika hasil siasatan mendapati perlu ditutup kita akan tutup. Sehingga hari ini tiada lagi yang bergejala namun esok atau lusa kita tidak tahu," katanya.

Menurut beliau, kesemua kontak rapat bagi Kolej Vokasional di Melaka Tengah membabitkan Kluster Tun Telani sudah disaring dan keputusannya negatif.

"Bagi kluster ini seramai 455 pelajar termasuk 118 guru serta warden disaring manakala 176 kontak rapat dikenal pasti.

"Bagi kluster pendidikan di Jasin pula lebih 500 individu termasuk pelajar serta tenaga pengajar dan staf sokongan sudah menjalani saringan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 5:42 PM