Foto hiasan
Foto hiasan
Nazri Abu Bakar

Melaka: Seramai 37 pelajar Kolej Vokasional (KV) Datuk Seri Mohd Zain disahkan positif Covid-19 dengan kesemua mereka sudah diasingkan dan dirujuk untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka Datuk Rahmad Mariman berkata, pihak Jabatan Kesihatan Negeri Melaka menerima notifikasi kes positif seorang pelajar kolej terbabit hasil dari saringan bergejala dan pulang dari zon merah pada 16 April lalu.

Berikutan itu, katanya, saringan segera dilakukan terhadap 196 kontak rapat kepada kes positif berkenaan yang membabitkan rakan sekolej dan guru.

Menurutnya, hasil saringan itu mengesahkan terdapat 37 pelajar kolej positif Covid-19 dengan kesemua kontak rapat yang disaring diberikan arahan kuarantin dan dipakaikan gelang kuarantin.

"Susulan terdapat pertambahan kes hari ini, penilaian seterusnya mengenal pasti seramai 430 kontak rapat kepada kes positif yang lain dan saringan swab Covid-19 akan dijalankan dalam masa terdekat oleh pihak kesihatan.

"Penutupan sementara kolej dilakukan bermula hari ini hingga 4 Mei dan pemantauan berterusan bagi kontak rapat kes positif di blok terbabit akan diteruskan," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, disinfeksi premis dilaksanakan dengan kerjasama pihak bomba dan pada masa sama kolej serta semua agensi berkaitan sedang mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi mengekang penularan jangkitan itu.

Sehubungan itu, beliau memohon orang ramai agar merujuk kepada kenyataan rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka.

Rahmad berkata, untuk mendapatkan maklumat sahih dan sebarang pertanyaan mengenai perkara terbabit orang ramai boleh menghubungi Crisis Preparedness and Response Center (CPRC) Melaka di talian 06-2356999/6851 atau melalui e-mel [email protected]

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 7:16 PM