KAMARUL Zaman menunjukkan gambar suspek yang diburu berkaitan sindiket penjualan sijil vaksin palsu. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
KAMARUL Zaman menunjukkan gambar suspek yang diburu berkaitan sindiket penjualan sijil vaksin palsu. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Pembeli sijil vaksinasi digital palsu akan disiasat menerusi Seksyen 22 (d) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988, kerana mengemukakan butiran palsu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pembeli sijil vaksin digital palsu juga akan turut berdepan pendakwaan selepas siasatan yang dibuat, membuktikan mereka terbabit membuat pembelian berkenaan.

Katanya, menerusi Seksyen 22 (d) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988, ia membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, kerana memberi maklumat palsu.

"Polis Johor kini sedang menganalisis peralatan komputer sebuah klinik swasta di bandar raya ini yang dipercayai digunakan untuk mendaftarkan butiran pembeli sijil vaksin digital palsu yang tidak mendapatkan suntikan vaksin Covid-19, namun didaftarkan dalam sistem MySejahtera seolah-olah mereka sudah lengkap divaksin.

"Setakat ini lima pembeli sudah ditahan bagi siasatan, manakala 22 lagi pembeli di sekitar bandar raya ini sedang dikesan berikutan polis sudah memperoleh butiran peribadi mereka.

"Polis tidak menolak kemungkinan terdapat lebih ramai pembeli sijil vaksin digital palsu ini berikutan menerusi siasatan, sindiket memalsukan sijil vaksinasi berkenaan sudah beroperasi sejak sebulan lalu.

"Polis juga sedang menganalisis lebih lanjut lapan telefon bimbit milik suspek yang sudah ditahan termasuk tiga kakitangan klinik swasta itu dan lima pembeli lain, bagi memeriksa komunikasi perbualan antara kakitangan klinik dan pembeli lain," katanya.

Media hari ini melaporkan, polis Johor berjaya membongkar sindiket penjualan sijil digital vaksin palsu di bandar raya ini dengan penahanan tiga pekerja klinik swasta dan lima pembeli sijil berkenaan, pada Isnin dan semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat dilaporkan berkata, penahanan itu dibuat hasil laporan polis yang dibuat seorang pemilik sebuah klinik swasta di sini, pada jam 10.53 malam, Ahad lalu.

Beliau dipetik berkata, pemilik klinik swasta berkenaan dilaporkan terkesan dan tidak bersetuju dengan aktiviti penjualan sijil digital vaksin tanpa suntikan oleh pekerja kliniknya, yang dipercayai sudah berlangsung sejak sebulan lalu

Sementara itu, Kamarul Zaman menggesa pembeli sijil vaksin digital palsu supaya menyerah diri kepada polis segera berikutan maklumat mereka akan diperoleh selepas analisis peralatan komputer selain telefon bimbit tiga kakitangan klinik berkenaan.

"Serah diri segera atau polis akan menahan anda tidak lama lagi.

"Polis kini sedang memburu 22 pembeli sijil vaksin digital palsu berkenaan berikutan maklumat mereka termasuk alamat rumah sudah diperoleh.

"Polis Johor memandang serius pembelian sijil vaksin digital palsu ini kerana ia mampu membahayakan nyawa orang awam selain penularan wabak Covid-19 yang tidak berkesudahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 4:40 PM