Khairy Jamaluddin. FOTO BERNAMA
Khairy Jamaluddin. FOTO BERNAMA
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dijangka menjawab beberapa persoalan orang ramai yang gusar dengan isu sijil digital vaksinasi Covid-19 palsu, dalam satu sidang media, Khamis ini.

Menurut KKM, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dijangka mengadakan sesi soal jawab bersama media untuk menjelaskan isu berkenaan.

Antara isu dijangka dibangkitkan adalah sama ada KKM akan melakukan semakan semula atau audit setiap klinik pengamal perubatan am swasta (GP) yang berdaftar dengan ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth).

ProtectHealth adalah pelaksana pembabitan Pengamal Perubatan Swasta dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), yang juga syarikat di bawah KKM.

Audit itu termasuk untuk melihat sama ada terdapat klinik berkenaan yang mengeluarkan sama ada sijil vaksin palsu atau dalam kes sebuah klinik swasta di Gombak baru-baru ini, disyaki memberikan sijil sah selepas membuang vaksin tanpa benar-benar menyuntik individu terbabit.

Selain itu, antara perkara dijangka dijelaskan adalah sejauh mana keyakinan awam berkaitan program vaksinasi ketika ini terutama hasil pemeriksaan ke atas komputer riba yang dirampas dalam kes di klinik di Gombak itu sahaja mendapati, terdapat 5,601 pesakit didaftarkan sebagai penerima vaksinasi ke dalam sistem MySejahtera.

Malah, siasatan lanjut sedang dijalankan polis bagi mengenal pasti jumlah yang didaftarkan tanpa menerima suntikan.

Selain itu, dijangka turut ditanyakan kepada Khairy adalah sejauh mana perancangan KKM untuk mengesan pemilik sijil digital vaksinasi sah yang sebenarnya tidak pun disuntik vaksin Covid-19.

Dalam sidang media, semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dilaporkan berkata, polis mengesan sebuah klinik swasta di Gombak disyaki mengeluarkan sijil vaksinasi Covid-19 kepada pelanggan tanpa melalui proses suntikan vaksin.

Arjunaidi berkata, kumpulan itu menyasar golongan antivaksin atau yang tidak mahu mendapatkan suntikan vaksin dengan bayaran RM500 untuk mereka mendapatkan sijil digital MySejahtera tanpa perlu disuntik vaksin.

"Bagi pelanggan yang tidak mahu disuntik, klinik ini akan membuang vaksin itu dan memulangkan botol kepada KKM sebagai tanda ia sudah digunakan.

"Pemeriksaan ke atas komputer riba dirampas mendapati, terdapat 5,601 pesakit sudah didaftarkan sebagai penerima vaksinasi ke dalam sistem MySejahtera dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti jumlah yang didaftarkan tanpa menerima suntikan," katanya.

Beliau berkata, pada peringkat awal klinik yang beroperasi sejak tiga bulan lalu itu mengenakan bayaran sehingga RM3,000 bagi setiap pelanggan, bagaimanapun ia diturunkan kepada RM500 berikutan terdapat persaingan daripada klinik lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 4:36 PM