Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Polis membongkar sindiket penjualan sijil vaksin palsu di bandar raya ini dengan penahanan tiga pekerja klinik swasta dan lima pembeli sijil berkenaan, pada Isnin dan semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, penahanan itu dibuat hasil laporan polis yang dibuat seorang pemilik sebuah klinik swasta di sini, jam 10.53 malam, Ahad lalu.

Katanya, pemilik klinik swasta berkenaan terkesan dan tidak bersetuju dengan aktiviti penjualan sijil digital vaksin tanpa suntikan oleh pekerja kliniknya.

"Bertindak atas maklumat pengadu, polis menahan lapan orang suspek di sekitar bandar raya ini membabitkan tiga pekerja klinik itu dan lima pembeli sijil digital vaksin yang tidak mengambil suntikan vaksin Covid-19.

"Kesemua suspek berkenaan berusia antara 24 hingga 42 tahun.

"Turut dirampas lapan telefon bimbit milik suspek termasuk pembeli yang mengandungi imej sijil digital vaksin tidak sah selain komunikasi perbualan antara kakitangan klinik dan pembeli berkenaan selain peralatan komputer yang dipercayai digunakan untuk mendaftarkan butiran penerima sijil vaksin digital palsu dalam sistem MySejahtera.

"Kesemua rampasan akan dianalisa bagi mengenal pasti individu yang didaftarkan menerima sijil vaksin palsu di dalam MySejahtera tanpa menerima suntikan," katanya.

KAMARUL Zaman menunjukkan gambar suspek yang ditangkap berkaitan sindiket penjualan sijil vaksin palsu pada sidang media di IPK Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
KAMARUL Zaman menunjukkan gambar suspek yang ditangkap berkaitan sindiket penjualan sijil vaksin palsu pada sidang media di IPK Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 1:13 PM