KEBAKARAN di tapak pelupusan sampah Pulau Burung di sini. FOTO ihsan Bomba
KEBAKARAN di tapak pelupusan sampah Pulau Burung di sini. FOTO ihsan Bomba
BERNAMA

Georgetown: Kerajaan Pulau Pinang akan mengambil tindakan terhadap pihak pengurusan tapak pelupusan sampah Pulau Burung di Nibong Tebal susulan kebakaran di kawasan itu sejak Rabu lalu masih berlarutan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pihaknya sedang menunggu laporan daripada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan akan membangkitkan isu berkenaan pada mesyuarat Exco kerajaan Pulau Pinang, Rabu ini.

"Notis-notis sudah dikeluarkan (sebelum ini terhadap pihak pengurusan tapak pelupusan) apabila MBSP mendapati kerja-kerja wajib di bawah jadual tidak dilakukan. Kita akan lihat cadangan tindakan yang boleh diambil, senario paling teruk adalah menamatkan konsesi syarikat tersebut," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Ulang Tahun Ke-50 Perindustrian Pulau Pinang di sini hari ini.

Menurut Chow pihak pengurusan iaitu Syarikat PLB Terang Sdn Bhd sudah mula menguruskan tapak pelupusan sampah itu sejak lima tahun lalu dan mempunyai kontrak konsesi selama 21 tahun.

Beliau berkata operasi pelupusan sampah tidak boleh ditawarkan sebagai kontrak jangka masa pendek kerana ia membabitkan pengurusan yang amat terperinci dan memerlukan pengoperasian setiap hari.

"Segala keputusan dari segi tindakan terhadap pihak pengurusan tidak boleh terburu-buru dan memerlukan rancangan rapi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 January 2022 @ 4:56 PM