Megat Zulkarnain menyampaikan cek sumbangan RM10,600 kepada Mohamed Satim Diman pada progam bantuan mangsa banjir YBR di Dewan Rukun Tetangga Taman Sri Serdang. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Megat Zulkarnain menyampaikan cek sumbangan RM10,600 kepada Mohamed Satim Diman pada progam bantuan mangsa banjir YBR di Dewan Rukun Tetangga Taman Sri Serdang. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Redzuan Muharam


Serdang: Yayasan Bank Rakyat (YBR) memperuntukkan RM3.81 juta tahun ini bagi pembiayaan pendidikan penuntut universiti awam dan swasta di seluruh negara menerusi inisiatif Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah (PPBU).

Pengerusi YBR, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, tawaran pembiayaan itu terbuka kepada semua penuntut tidak kira yang bakal memulakan semester pertama atau sedang melanjutkan pengajian.

Megat Zulkarnain berkata, permohonan PPBU YBR akan dibuka bermula 15 Februari sehingga 15 Mac depan dan inisiatif itu juga dilaksanakan bagi penuntut terkesan rentetan daripada musibah banjir yang melanda negara Disember lalu untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

"YBR antara yayasan yang menitikberatkan soal pendidikan dan hasil perbincangan dalam mesyuarat lembaga pengarah sepakat untuk memberi perhatian kepada penuntut termasuk yang akan mulakan pengajian di semua IPTA serta IPTS seluruh negara.

"Mungkin dulu tidak terkesan tetapi apabila berlakunya banjir, keluarga mereka terpaksa tanggung kerugian besar.

"Jadi, yayasan perlu ke depan untuk membantu dan kalau mendapat keputusan baik, ia akan diubah menjadi biasiswa," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan menyempurnakan majlis penyerahan bantuan kepada 53 keluarga mangsa banjir di Balai Rukun Tetangga, Taman Sri Serdang, di sini.

Hadir sama, wakil penduduk Serdang, Datuk Dr Mohamed Satim Diman.

Menurut Megat Zulkarnain, inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada 300 hingga 400 untuk fasa pertama dengan anggaran pembiayaan RM30,000 bagi setiap penerima bergantung kepada kursus pengajian diambil.

"Bantuan ini tidak mengambil kira negeri tertentu sebaliknya boleh dimohon semua penuntut di seluruh negara.

"Jika ada permintaan menggalakkan, kita akan duduk dan bincang semula bagaimana boleh tambah (bantuan).

"Apa yang penting, YBR berikan bantuan kepada rakyat malah banyak cara membantu bukan hanya dengan memberi wang tunai saja," katanya.

Berhubung pemberian bantuan kepada mangsa banjir, Megat Zukarnain berkata, YBR memperuntukkan RM10,600 kepada 53 keluarga yang terjejas akibat banjir di sekitar Serdang.

Katanya, sebanyak RM200 disumbangkan kepada setiap keluarga yang dikenal pasti melalui Kelab Rekreasi Wanita Muda Puchong.

Sementara itu, penerima sumbangan, Marhamah Hassan, 72, bersyukur kerana terpilih untuk menerima bantuan daripada YBR.

"Terima kasih kepada YBR kerana ingat dengan penduduk Taman Sri Serdang malah ini bantuan pertama diterima selepas banjir pertengahan bulan lalu.

"Dalam kejadian itu, air naik sehingga paras buku lalu saja dan ia tidak seburuk banjir pada tahun 2012," katanya yang tinggal bersama dua anak dan tiga cucunya.

Seorang lagi penerima, Zamarudin Mohd Moosa, 59, berkata kebanyakan barangan rumah termasuk motosikal tidak dapat diselamatkan kerana rosak akibat banjir.

"Saya tiada di rumah ketika kejadian kerana bekerja di restoran begitu juga isteri dan anak yang pulang ke kampung.

"Banyak barangan rumah rosak kecuali kereta dan saya bersyukur dengan sumbangan ini yang sedikit sebanyak meringankan beban," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 January 2022 @ 1:41 PM