NOH (tengah) menyampaikan bantuan persekolahan kepada murid sambil diperhatikan Halimah (kiri) dan Megat Zulkarnain di Kota Tinggi, hari ini. FOTO Ihsan YBR
NOH (tengah) menyampaikan bantuan persekolahan kepada murid sambil diperhatikan Halimah (kiri) dan Megat Zulkarnain di Kota Tinggi, hari ini. FOTO Ihsan YBR
Oleh Luqman Arif Abdul Karim


Kota Tinggi: Yayasan Bank Rakyat masih membuka permohonan pinjaman boleh ubah pendidikan dengan had siling pembiayaan sehingga RM30,000.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar berkata, tawaran pembiayaan itu terbuka kepada semua penuntut di institusi pengajian tinggi awam dan swasta di negara ini.

Kata beliau, pinjaman pendidikan yang berupaya diluluskan, tanpa mengira peringkat pengajian mengikut semester itu juga boleh diubah suai kepada biasiswa sekiranya penerima memperoleh keputusan cemerlang.

"Yayasan Bank Rakyat masih membuka permohonan kepada pelajar yang berminat untuk mendapatkan biasiswa, sama ada universiti awam atau swasta, tanpa mengira semester ke berapa pun.

"Maksudnya, jika pelajar berdepan masalah kewangan, contohnya pada semester kedua atau ketiga, mereka masih memohon pembiayaan ini dan ia boleh diubah suai kepada biasiswa dengan syarat tertentu.

"Pembiayaan ini bertujuan untuk memberi galakan kepada mereka untuk belajar bersungguh-sungguh meskipun terpaksa berdepan isu kewangan.

"Peruntukan bagi tempoh ini adalah RM4 juta untuk diberikan kepada penerima yang layak," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Prihatin Pendidikan Keluarga Malaysia, di Felda Bukit Waha di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique dan Pengerusi Yayasan Bank Rakyat Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Memperincikan butiran semasa, Megat Zulkarnain berkata, yayasan menerima kira-kira 3,000 permohonan secara dalam talian dan kesemuanya sedang disemak.

Kata Megat Zulkarnain, tarikh tutup permohonan bagi pembiayaan boleh ubah pendidikan adalah pada 15 Mac ini dengan siling peruntukan kepada setiap penerima ialah RM30,000.

"Jumlah ini bagaimanapun berubah-ubah mengikut keadaan kerana contohnya, jika pemohon hanya memerlukan sekian jumlah, kita akan nilai dan luluskan jika memenuhi kelayakan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Noh berkata, kementerian sudah menerima 12,000 permohonan pampasan kewangan dalam kalangan usahawan yang terkesan dengan musibah banjir baru-baru ini.

Noh berkata, peruntukan keseluruhan yang disediakan kerajaan bagi tujuan itu setakat ini adalah RM50 juta, termasuk kepada usahawan yang ditimpa musibah di pantai timur.

"Bermakna ada tinggal 4,000 lagi permohonan untuk kita berikan pampasan kepada usahawan yang terkesan dengan banjir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2022 @ 5:48 PM