PHILIP bersama 101 penerima anugerah (graduan IPT) pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik YBR. FOTO Saifullizan Tamadi
PHILIP bersama 101 penerima anugerah (graduan IPT) pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik YBR. FOTO Saifullizan Tamadi
Suraya Ali


Kuala Lumpur : Yayasan Bank Rakyat (YBR) mengiktiraf kejayaan 101 graduan lepasan Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana dari institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan.

Pengerusi YBR Datuk Philip Benedicr Lasibang berkata melalui inisiatif ini YBR memperuntukkan RM101,000 sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang menamatkan pengajian dengan keputusan PNGK 3.5 ke atas bermula Julai 2022.

Menurutnya, setiap orang graduan akan menerima ganjaran wang tunai RM1,000 secara 'one-off'.

"Anugerah Kecemerlangan Akademik ini diperkenalkan sejak 2015 adalah usaha YBR mencetuskan inspirasi kepada pelajar untuk mencapai keputusan akademik yang terbaik serta menyokong agenda pendidikan negara dalam melahirkan modal insan mahir," katanya pada Majlis Kecemerlangan Akademik YBR di sini, hari ini.

Philip berkata, seramai 89 graduan dari peringkat Ijazah Sarjana Muda manakala graduan 12 dari peringkat Ijazah Sarjana tersenarai menerima anugerah kali ini.

Selain itu, katanya, YBR menyediakan pelbagai peruntukan bagi pembangunan modal insan termasuk mengubah Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah (PPBU) kepada biasiswa bagi pelajar tajaan yang mendapatkan keputusan cemerlang.

Sementara itu, dalam majlis sama YBR turut menyerahkan 25 komputer riba kepada 25 pelajar matrikulasi tajaan yayasan itu.

YBR bersama Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (BMKPM) menjalinkan usahasama untuk memberi suntikan semangat kepada pelajar.

YBR turut memperuntukkan biasiswa kepada 25 pelajar Matrikulasi terpilih yang meliputi elaun sara diri, elaun buku, pemberian komputer riba serta Bantuan Awal Pengajian (BAP).

Penerima anugerah, Jasmine Hamdan, 29 yang mengambil jurusan Ijazah Sarjana Falsafah Kejuruteraan Kimia di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan PNGK 4.0 berkata hadiah ini amat membantu dirinya yang baharu mula bekerja Februari tahun ini.

Berasal dari Johor dan bekerja di Johor Bahru, Jasmine yang juga anak keempat dari lima beradik ini kini bertugas sebagai pembantu Penyelidik di Amtec UTM.

"Saya hanya mampu ucapkan terima kasih kepada Ibu saya Mastura Buang yang menjadi pendorong utama saya menamatkan pengajian.

"Keazaman saya datang dari kesungguhan Ibu mahu melihat kejayaan saya, semua ini adalah berkat doa Ibu," katanya.

Seorang lagi penerima, Muhammad Arshad Mohamad Din, 20 yang mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Pembangunan Perisian di Universiti Teknologi Melaka (UTEM) menerima anugerah setelah tamat pengajian di Kolej Matrikulasi Selangor dengan PNGK 4.0 percaya pendidikan mampu meningkatkan taraf hidup seseorang.

"Kesungguhan dan keazaman untuk mendapatkan keputusan dan cemerlang dalam pengajian menjadi pendorong utama," katanya.

Berasal dari Selangor, Arshad yang membesar dalam keluarga dalam golongan B40 berazam untuk mengubah nasib keluarga

Penerima biasiswa YBR ini juga berharap dapat menyumbang kepakaran kepada yayasan setelah tamat pengajian nanti.

"Saya mahu membalas jasa semua pihak yang membantu saya sepanjang tempoh pengajian saya terutama ibu bapa dan Yayasan Bank Rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2023 @ 12:44 AM