DUA individu yang direman hari ini berkaitan isu tender syarikat pembersihan. FOTO Noorazura Abdul Rahman
DUA individu yang direman hari ini berkaitan isu tender syarikat pembersihan. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Dua lagi pemilik syarikat ditahan reman bagi membantu siasatan kes mengemukakan penyata akaun bank milik beberapa syarikat yang mengandungi butiran palsu untuk memasuki tender syarikat pembersihan bernilai lebih RM60 juta pada 2018 dan 2019.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rendah Alor Setar Eliana Ismail selama enam hari bermula hari ini.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan yang direman sehingga kini adalah 17 orang, manakala lapan lagi dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kedua-dua suspek berusia 37 dan 51 tahun itu tiba ke lokap Mahkamah Alor Setar di sini kira-kira 10.50 pagi diiringi pegawai SPRM untuk mendapatkan perintah reman.

Dua suspek terbabit adalah antara 25 individu ditahan SPRM bermula kelmarin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Menurut sumber, setakat ini sebanyak 25 syarikat sedang disiasat kerana disyaki melakukan perbuatan itu bagi mendapatkan kontrak bernilai lebih RM60 juta.

"Jumlah yang ditahan bagaimanapun bukanlah muktamad kerana SPRM kini masih mencari individu atau syarikat lain yang mungkin terbabit.

"Ada antara pihak yang dicari itu sudah menukar alamat namun siasatan kini masih berjalan," katanya.

Kesemua yang ditahan terdiri daripada pengarah dan pemilik syarikat, pengurus, kontraktor serta individu bekerja sendiri.

Mereka mengemukakan penyata akaun bank beberapa syarikat yang mengandungi butiran palsu dipercayai dibuat untuk melayakkan syarikat berkenaan memasuki tender Penswastaan Pengumpulan Sisa Pepejal dan Pengurusan Pembersihan Awam di Wilayah Utara.

Sementara itu Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan tangkapan.

Berita berkaitan

15 direman kemuka dokumen palsu masuk tender pembersihan [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 January 2022 @ 3:25 PM