Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Seramai 15 individu termasuk seorang wanita direman bagi membantu siasatan kes mengemukakan penyata akaun bank milik beberapa syarikat yang mengandungi butiran palsu untuk memasuki tender sebuah syarikat pembersihan pada 2018 dan 2019.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor selepas membenarkan permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Mereka yang berusia 31 hingga 68 tahun direman selama tiga hingga lima hari bermula hari ini.

Menurut sumber SPRM , seramai 21 individu ditahan secara berasingan di sekitar Bangi, Selangor dan Pejabat SPRM Kedah, di sini, semalam.

Katanya, kesemua yang ditahan terdiri daripada pemilik, pengarah dan pengurus syarikat selain kontraktor serta bekerja sendiri.

SEBAHAGIAN daripada 15 individu yang direman bagi membantu siasatan. FOTO Luqman Hakim Zubir
SEBAHAGIAN daripada 15 individu yang direman bagi membantu siasatan. FOTO Luqman Hakim Zubir

"Seramai enam daripada mereka bagaimanapun dilepaskan dengan jaminan SPRM.

"Mereka yang ditahan mengemukakan penyata akaun bank milik syarikat yang mempunyai butiran palsu kepada sebuah syarikat pembersihan untuk melayakkan syarikat mereka memasuki tender Penswastaan ​​Pengumpulan Sisa Pepejal dan Pengurusan Pembersihan Awam di Wilayah Utara," katanya.

Sumber itu berkata, SPRM juga sedang mengesan individu lain yang dipercayai terbabit dan sedang mendapatkan dokumen penting dalam kes itu selain merakam pernyataan beberapa saksi.

Katanya, SPRM juga tidak menolak kemungkinan akan ada lagi tangkapan berkaitan kes itu selepas ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 11:27 AM